PERDANA
MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan Malaysia untuk
membantu Bangladesh dalam usaha memulihkan keamanan dan kestabilan di
negara itu.
Menurut Anwar, perkara itu telah dinyatakan menerusi
panggilan telefon dengan 'sahabat lamanya' Prof Muhammad Yunus pada
Selasa malam bagi mengucapkan tahniah dan bertanya khabar kepada ahli
ekonomi itu susulan pelantikan sebagai perdana menteri sementara
Bangladesh.
"Muhammad Yunus mempunyai sejarah hubungan yang baik dengan Malaysia.
"Saya
juga gembira dengan jaminan yang diberikan oleh beliau untuk melindungi
dan memberi layanan yang saksama kepada semua warga Bangladesh termasuk
golongan minoriti," kata Anwar menerusi perkongsian akaun di media
sosial beliau.
Muhammad Yunus, pemenang Hadiah Nobel Keamanan,
mengangkat sumpah sebagai perdana menteri sementara pada 8 Ogos lalu
bagi mengetuai kerajaan peralihan negara itu.
Ia selepas Perdana
Menteri Sheikh Hasina melarikan diri dari negara itu setelah
berminggu-minggu berlaku protes berdarah yang mengorbankan lebih 300
nyawa susulan protes pelajar universiti terhadap dasar kuota pekerjaan
dalam perkhidmatan awam.
Muhammad Yunus yang terkenal di seluruh
dunia sebagai pengasas 'bank orang miskin' sebelum majlis angkat sumpah
menyatakan tekad untuk 'menegakkan, menyokong dan melindungi
Perlembagaan', di hadapan pemimpin politik, masyarakat sivil, jeneral
serta diplomat di istana presiden.
Sementara itu menurut Anwar,
Muhammad Yunus turut menjemput beliau melakukan lawatan pendek ke
Bangladesh dalam masa yang terdekat bagi mengukuhkan lagi hubungan
persaudaraan di antara kedua-dua negara.
0 Comments