PKP: Kemana sebenarnya PN mahu bawa Malaysia?

 


SEORANG pakar ekonomi dan kumpulan perniagaan antarabangsa menyelar kerajaan Muhyiddin Yassin kerana gagal memperincikan dengan jelas butiran perintah kawalan pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran (CME) Carmelo Ferlito dipetik laporan media berkata, Putrajaya tidak cukup untuk sekadar mengumumkan PKP tanpa turut menyertakan butiran lanjut.

“Apakah maksudnya?”

“Bolehkah perniagaan saya beroperasi? Bolehkah saya menghantar anak ke sekolah?

“Keadaan terlalu kabur, seolah-olah kehidupan dan perniagaan boleh dibuka tutup seperti menggunakan alat kawalan jauh.

Pengumuman PKP untuk kali ketiga diumumkan Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob kira-kira seminggu sebelum umat Islam dinegara ini menyambut perayaan Aidil Fitri.

Pengumuman mengejut dilakukan saat akhir itu menerima kecaman ramai terutama apabila orang ramai sudah mula membuat persediaan dan merancang sambutan perayaan mereka.

Tindakan kerajaan melaksana perintah kawalan itu turut dikritik Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendakwa PKP adalah jalan pintas dan cubaan kerajaan mahu menunjukkan kepada rakyat seolah-olah mereka sedang bekerja.

 Kes harian Covid-19 terus naik
“Tapi hasilnya semua kita tahu. Kes sudah cecah lebih 2,000 setiap hari walaupun kononnya darurat dibuat untuk melawan Covid-19 " kata bekas menteri itu
 
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Shaun Cheah berkata beliau selama ini menggesa supaya pemegang taruh dalam perniagaan dimaklumkan mengenai SOP yang relevan sebelum sebarang pengumuman besar-besaran dibuat.

Cheah menambah, MICCI telah memikirkan set SOP standard untuk semua PKP berbeza supaya sektor perniagaan mampu lebih bersedia. Malangnya, katanya, perkara itu nampaknya tidak berguna.

“Memang mengarut. Aktiviti ekonomi dibenarkan tetapi bukan pergerakan antara negeri. Bagaimana orang hendak pergi bekerja jika perlu melintasi sempadan negeri? Kuala Lumpur (KL) tidak dikenakan PKP, jadi adakah mereka yang berada di Petaling Jaya dihalang daripada memasuki KL?.

Warganet sebelum ini mengecam kerajaan setelah mengumumkan enam daerah di Selangor dalam perintah PKP. warganet mempersoalkan mengapa KL yang berada di tengah-tengah enam daerah itu tidak dikenakan PKP.

Setelah dikritik, kerajaan kemudiannya tampil mengumumkan KL dikenakan PKP bermula Jumaat ini sehingga 20 Mei.

Sementara itu, Ferlito mempertikaikan sejauh mana kerajaan mahu menamatkan pandemik, kerana menganggap Malaysia langsung tidak melihat kemajuan dalam perang terhadap virus itu sejak 15 bulan lalu.



Tambahnya, sekatan pergerakan yang ‘tidak masuk akal’ dan ‘tidak berguna’ mengakibatkan semakin ramai kini di ambang kemiskinan, manakala berbilion ringgit telah dibazirkan kerana kerajaan terpaksa berbelanja untuk subsidi dan langkah bantuan lain.

Katanya strategi komunikasi kerajaan juga lemah.

“Kekurangan strategi komunikasi baik memang berulang kali berlaku sepanjang pengurusan pandemik,” katanya.


“Selepas setahun langkah-langkah yang tidak teratur seperti ini, ahli perniagaan mungkin lebih rela menutup perniagaan. Usaha mereka asyik terjejas dengan gangguan yang tidak wajar.”


 

Post a Comment

0 Comments