Langgar SOP: Menteri jaga Covid-19 didesak letak jawatan


MENTERI
Kanan Hishammuddin Hussein didesak meletak jawatan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh membuat gesaan itu setelah tular video menunjukkan beberapa pemimpin meredah kerumunan hadirin pada majlis pelancaran briged MIC Johor di Kota Iskandar, Johor semalam.

Selain Hishammuddin, difahamkan antara berada dalam video itu ialah penyandang menteri besar Johor, Hasni Mohammad dan Presiden MIC S Vigneswaran.

Yeoh berkata, Hishammuddin memegang jawatan sebagai pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, sebelum ini telah mengumumkan pelbagai SOP Covid-19 kebangsaan - termasuk ziarah umrah dan MyTravelPass - serta mengatakan bahawa pilihan raya negeri (PRN) Johor harus dijalankan dengan selamat.

"Oleh sebab itu, adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan apabila beliau sendiri didapati melanggar SOP Covid di majlis persiapan PRN Johor anjuran MIC Johor baru-baru ini.

"Walaupun Menteri Kesihatan telah mengarahkan Hishammuddin dan para pemimpin kanan BN yang lain dikenakan kompaun, Hishammuddin bagaimanapun mengakui yang beliau telah melanggar SOP dalam jawapan balas beliau kepada ciapan Twitter saya semalam," katanya dipetik.

Media turut melaporan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengarahkan kementeriannya mengeluarkan kompaun terhadap  Hishammuddin dan beberapa pemimpin tertinggi kerajaan kerana didakwa melanggar SOP Covid-19.

Yeoh bagaimanapun berpendapat denda yang telah diarahkan adalah tidak memadai sebagai hukuman bagi pelanggaran Covid-19 oleh seorang tokoh kanan dalam kerajaan.

"Mengenakan kompaun sahaja tidak mencukupi terutama untuk seorang Menteri Kanan yang duduk di barisan eksekutif dan pernah dilihat menghisap vape di dalam Parlimen yang telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok oleh Menteri Kesihatan.

"Jika di negara lain, menteri mereka akan meletak jawatan jika didapati melanggar SOP.

"Saya berpendapat, Hishammuddin tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan dan mengumumkan SOP Covid di peringkat kebangsaan lagi," kata Yeoh sambil menambah bahawa ia adalah 'kegagalan kepimpinan yang teruk'," tambah Yeoh.

Pamer kegagalan kepimpinan yang teruk
Sementara itu dalam perkara berkaitan, , Perdana Menteri Ismail Sabri terus mempertahankan Hishammuddin Tun Hussein apabila berkata menteri itu tidak perlu meletakkan jawatannya walaupun didapati bersalah melanggar SOP yang telah ditetapkan.

Kesalahan yang dilakukan oleh Hishammuddin itu katanya bukanlah satu jenayah.

Post a Comment

0 Comments