PERBICARAAN kes rasuah Rosmah Mansor dijangka bakal disambung pada 29 dan 30 April ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dipetik berkata, ini susulan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April yang diumumkan kerajaan.
"Setakat ini, hanya ada tarikh sambung bicara pada 29 dan 30 April ini. Untuk tarikh sambung bicara seterusnya, mahkamah masih belum tetapkan," katanya menurut laporan oleh Bernama.
Rosmah, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak dituduh atas pertuduhan rasuah membabitkan pembekalan dan pemasangan sistem tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak
Beliau dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor.
Suapan itu sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Solar Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Mahkamah sebelum ini menetapkan bahawa perbicaraan kes itu bersambung pada 15 dan 16 April, 20 hingga 23 April serta 28 hingga 30 April.
Rosmah, 68 tahun didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Selain terpalit dengan kes berkenaan, Rosmah juga berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan pada bulan Mei.
0 Comments