INSIDEN seorang lelaki memukul pemandu kereta perodua kancil dengan sebatang besi yang videonya tular semalam dipercayai berpunca dari rasa tidak puas hati.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sharif yang dipetik portal Sinar berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati dengan tindakan pemandu kancil itu yang telah memotong kenderaan jenis Toyota Harrier dipandunya.
"Mangsa berusia 35 tahun mengakui memotong kenderaan dinaiki suspek kerana ia dipandu secara perlahan dalam keadaan ke kiri dan ke kanan," katanya Mohamad Roy dipetik portal itu.
Tambahnya, selepas mangsa memintas keretanya itu suspek berusia 45 tahun bertindak mengekori mangsa sehingga berjaya memotong kenderaan tersebut.
Sebaik sampai di Jalan Kampung Atas Pinggir, Bunut Susu, suspek kemudian bertindak melanggar bahagian belakang serta menghimpitnya menyebabkan kereta mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit.
Suspek kemudian meluru dari kenderaannya serta bertindak memukul mangsa menggunakan besi boleh laras sehingga mendatangkan kecederaan.
Sementara itu tambah Mohamad Roy, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau.
Semakan rekod menunjukkan kenderaan dinaiki suspek telah didaftarkan atas nama seorang wanita di Bangi, Selangor.
"Polis menghubungi wanita berkenaan dan dia menjelaskan bahawa kenderaan itu diberikan sambung bayar kepada sebuah syarikat kereta di negeri ini," jelasnya.
Difahamkan pihak polis kini menyiasat kes itu mengikut Seksyen 324 dan 279 Kanun Keseksaan, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
0 Comments