GLC: Harapan dakwa Muhyiddin cuba selamatkan diri


PERLANTIKAN
Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kejawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disifatkan sebagai lebih teruk daripada apa yang dilakukan kerajaan pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam satu kenyataan berkata, tindakan menggantikan golongan profesional sebagai pengerusi dan pengurus GLC serta badan berkanun dengan lantikan politik mengambarkan pentadbiran Muhyiddin Yassin dilihat seolah-olah mahu 'membeli sokongan'.

"Kami mendesak agar Muhyiddin tidak mendahulukan kepentingan politik beliau melebihi kepentingan negara dan rakyat, sebaliknya melantik semula golongan profesional dihormati industri menggalas jawatan GLC dan badan berkanun sebagaimana amalan HARAPAN sebelum ini," kata kenyataan itu.

Media sebelum ini memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan yang berkata bahawa ahli parlimen yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan ketika ini akan dilantik mengetuai GLC.

Satu senarai nama-nama individu yang bakal dilantik sebagai pengerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam waktu terdekat turut tersebar sebelum ini.

Susulan itu, ia mendapat kritikan dari rakyat, malah bekas menteri kanan, Tan Sri Rafidah Aziz turut kecewa dan mempersoal tindak tanduk pentadbiran Muhyiddin itu. 


BACA:
Bekas menteri kecam pentadbiran Muhyidin

Sementara itu dalam kenyataannya, Majlis Setiausaha HARAPAN turut berkata, keputusan terkini kerajaan PN itu akan menyebabkan segala inisiatif reformasi ke arah tatakelola baik (good governance) dilaksanakan sebelum ini dimusnahkan.

Tegas mereka lagi, ketika rakyat sedang gelisah dengan ketidaktentuan ekonomi, kerajaan PN melantik ahli Parlimen mereka menerajui GLC dan agensi kerajaan dengan elaun dan gaji menelan beribu-ribu ringgit.

"Pertama, menjadi seorang ahli Parlimen tidak bermaksud mereka mempunyai kelayakan profesional untuk menerajui GLC dan agensi kerajaan.

"Kedua, ini merupakan langkah yang jelas untuk ‘membeli’ sokongan buat kerajaan Muhyuddin yang mempunyai majoriti nipis.

"Tindakan ini dilihat sebagai usaha untuk menyelamatkan diri sekiranya undi tidak percaya diadakan di Parlimen kelak, namun sebenarnya ia berpotensi mendatangkan kesan negatif kepada prestasi GLC yang merupakan antara penyumbang utama hasil negara," tegas mereka.

Post a Comment

0 Comments