HARAPAN terima kekalahan, akan laksana 'post mortem'


SELEPAS berdepan kekalahan mengejut kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Pakatan Harapan (HARAPAN) bakal mengadakan ‘post mortem’.
 
Pengerusi HARAPAN Johor, Aminolhuda Hassan berkata, langkah bagi mengkaji punca utama kekalahan itu perlu dilakukan segera bagi membolehkan mereka bangkit semula menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Ini penting dalam usaha HARAPAN untuk bersiap sedia dalam menghadapi PRU akan datang, khususnya selepas kita tahu kemenangan UMNO dan BN akan menjadikan mereka ghairah untuk mengadakan PRU secepat mungkin.

“Walaupun dengan kekalahan ini, kami tidak akan berputus asa. HARAPAN sebelum ini memang sudah biasa dengan peranan sebagai pembangkang dan kami tidak akan berputus asa,” katanya sambil menjelaskan antara aspek yang akan diteliti termasuklah memastikan sebarang kelemahan, kekurangan dan kesilapan sepanjang PRN Johor diperbaiki.

Aminolhuda yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor turut memberitahu, antara pengajaran boleh diambil adalah parti pembangkang sepatutnya bersatu dalam satu khemah yang sama.

“Salah strategi atau tidak, itu sudah lepas, selepas ini masing-masing perlu berlapang dada dan terima pandangan satu sama lain dengan ikhlas kerana keputusan ini tidak dijangkakan.

“Hal ini berlaku mungkin kerana jumlah peratusan keluar mengundi yang sedikit rendah, jika peratusan mengundi mencecah antara 70 hingga 80 peratus, mungkin keputusannya lain,” ujarnya dalam sidang media dihadiri Pengerusi KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong di Pusat Operasi HARAPAN di Senai malam tadi.

HARAPAN akan cari dan perbaiki kelemahan
Pilihan raya di Johor kali ini , HARAPAN menunjukkan prestasi hambar apabila Parti komponen Amanah dan KEADILAN hanya menang satu kerusi setiap satu, turun daripada sembilan dan lima masing-masing sebelum ini.

DAP memenangi 10 kerusi, turun daripada 14 pada 2018. Manakala Parti Ikatan Demoratik Malaysia (Muda) yang menjadi sekutu mereka memenangi satu kerusi Amira Aisya Abd. Aziz