BEBERAPA insiden pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor didedahkan hari ini, antaranya bekalan elektrik dilapor terputus ketika proses pengiraan undi dijalankan.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir melalui muatnaik di laman Twitternya mendakwa berlaku kepincangan bekalan elektrik di sebuah pusat pengundian kerusi DUN Larkin.
Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bekalan elektrik di Dewan Raya Taman Century, terputus kerana set janakuasa berhenti beroperasi secara tiba-tiba.
"Saya difahamkan DM Dewan Raya Taman Century di Larkin sudah mula kira, tapi blackout. PACA (Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Kiraan Undi) kami tengah fight minta tangguh pengiraan dulu!
“Macam mana ini berlaku tahun 2022?” soalnya.
Walau bagaimanapun kira-kira 30 minit kemudian dalam ciapan berasingan, Akmal Nasrullah berkata janakuasa telah dihidupkan semula.
“Genset dah dihidupkan semula.
“Proses pengiraan disambung,” tulisnya.
Selain berlaku kepincangan bekalan tenaga, beberapa pusat mengundi di kawasan DUN Layang -Layang yang ditandingi bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik turut didakwa ditutup lebih awal sebelum tamat masa mengundi.
Maszlee melalui ciapannya berkata, pihaknya akan membuat bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai perkara itu.
"Kejadian sama berlaku di tiga tempat mengundi dalam DUN Layang-Layang. Peguam kami sedang menyediakan report polis dan akan membuat bantahan.
"Minta calon dan wakil calon di tempat lain turut mengambil tindakan yang sama," katanya di Twitter hari ini.
Sebelumnya, calon DAP DUN Bekok M Kanan juga membuat aduan yang sama.
"Saya terkejut dengan keputusan SPR untuk menutup pusat mengundi lebih awal kerana jumlah pengundi yang rendah. Apakah rasional di sebalik keputusan SPR ini?
Beberapa isu dibangkitkan pada PRN Johor |
"Bagaimana jika seorang pengundi yang kerja hari ini mungkin akan keluar mengundi pada sebelah petang?" soalnya dipetik laporan Malaysiakini.
0 Comments