Anwar sokong pindaan MA63, namun ingatkan supaya tak disalahguna


KETUA PEMBANGKANG
, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pemimpin kerajaan Sabah dan Sarawak supaya tidak menyalahgunakan hak budi bicara mereka mengenai imigresen untuk melarang kemasukan Ahli Parlimen dari Semenanjung.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini, Anwar menegaskan bahawa beliau menyokong sepenuhnya semangat pindaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan syarat ia memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, pindaan itu yang bakal memberi kuasa yang lebih untuk kedua-dua wilayah itu bukan bermakna ia boleh diperlaku sewenang-wenangnya.

"Kita ambil contoh imigresen. Imigresen itu semangat kesatuan Malaysia, bukan untuk salah guna sampaikan ahli parlimen tak boleh masuk Sarawak. Ini bukan cara dia.

"Saya hormati hak itu. Tapi nampaknya ia digunakan termasuk dalam musim pilihan raya ini, menghalang kemasukan ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat.

"Tapi jangan dilupakan bahawa selama sejak merdeka, 58 tahun ini, terlalu ramai pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak, pemimpin silih berganti, ketua silih berganti tetapi memunggah kekayaan yang luar biasa dan dalam masa yang sama, memiskinkan rakyat.

"Ini bukan semangat penubuhan Malaysia," kata Anwar ketika membahaskan empat pindaan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua hari ini.

Rang undang-undang itu bertujuan untuk melaksanakan empat pindaan.

Pertama adalah untuk mentakrifkan semula maksud persekutuan dalam perlembagaan, daripada yang berpaksikan kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957, untuk memasukkan MA63 dan penyertaan Malaysia Timur dalam persekutuan itu.

Kedua, memulihkan Perkara 1(2) untuk mewujudkan perbezaan yang jelas bahawa persekutuan terdiri daripada dua blok, iaitu negeri-negeri semenanjung disebut semula "Tanah Melayu" (Malaya); dan negeri-negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Pindaan ketiga adalah untuk secara rasmi memaktubkan 16 Sept sebagai Hari Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan keempat ialah mengubah suai Perkara 161A untuk menghapuskan takrifan 'orang asal' Sarawak, dan memberi kuasa kepada Sarawak untuk menentukan siapa anak negeri itu.

Kuasa bukan untuk disalah guna
Difahamkan pada 2019, Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) mencadangkan pindaan serupa kepada Perkara 1(2).

Bagaimanapun, rang undang-undang ini tidak dapat diluluskan kerana tiada sokongan dua pertiga setelah Ahli parlimen daripada Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengambil sikap berkecuali daripada undi itu.

Post a Comment

0 Comments