KENYATAAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan penggunaan chopstick oleh kaum Cina sebagai sebab negara berdepan cabaran untuk mempunyai nilai kesatuan identiti mengundang pelbagai respon pemimpin dan masyarakat.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berkata, hujah bekas Pengerusi parti Bersatu itu mengenai indentiti kaum merupakan perbandingan yang salah.
"Saya rakyat Malaysia dan saya orang Cina. Saya selalu makan guna sudu dan garpu, ada kala saya guna penyepit, ada juga masanya saya guna tangan, terutamanya bila saya makan nasi banana leaf atau pizza hut.
"Tapi, taklah saya guna penyepit makan nasi lemak dan belum pernah lagi saya nampak orang guna tangan makan steambot - tapi kalau ada pun oklah, janji makanan masuk mulut turun ke perut," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa generasi terdahulu bersetuju menubuhkan sebuah negara yang menerima pelbagai kaum seperti sekarang adanya tanpa asimilasi dan diskriminasi.
"Saya diajar bahawa kepelbagaian kita yang berbagai kaum itu adalah untuk kita saling berkenalan, saling belajar daripada satu sama lain. Kita jadi kuat sebab kita majmuk.
"Itu sebabnya saya selalu membantah persoalan sebegini: adakah saya orang Malaysia atau orang Cina? Saya bantah, tak kira soalan ini dibawa oleh siapa, waima pemimpin yang saya hormati.
"Kerana soalan itu satu dilema palsu. Mengapa saya harus pilih? Saya 100 peratus orang Malaysia dan 100 peratus orang Cina," katanya dalam hantaran di Facebook.
Mahathir pada Ahad membangkitkan apa yang dirasakannya sebagai kesukaran dalam asimilasi penduduk bukan Melayu di negara ini, dengan penggunaan penyepit di kalangan masyarakat Cina sebagai contoh.
Ahli Parlimen Langkawi itu juga berkata masih ada kecenderungan komuniti di Malaysia dalam mengekalkan perkaitan dengan negara asal, walaupun lahir dan dibesarkan di Malaysia.
Kenyataan Mahathir turut mendapat respon Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam perkongsian di Twitter pada Isnin sebagai respon terhadap isu berkenaan Anwar berkata bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Mahathir mengingatkan beliau kepada seorang ilmuan iaitu Imam Daud Ting.
"Dalam wacana tentang penggunaan chopstick saat ini, ia mengingatkan saya kepada Almarhum Imam Daud Ting yang juga penterjemah Al-Quran ke Bahasa Mandarin telah menghadiahkan chopstick kepada saya semasa pertemuan kami di Masjid Besar Taipei pada sekitar tahun 1980," katanya.
Perbandingan cuba disampaikan adalah salah |
Setelah dikritik banyak pihak, Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ulya Aqamah Husamuddin semalam tampil mempertahan Mahathir dengan mendakwa kenyataannya itu kononnya telah disalah tafsir.
0 Comments