JABATAN Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya membuat andaiaan insiden kren roboh di Sentul baru-baru ini berpunca dari kecuaian.
Pengarahnya, Husdin Che Amat dipetik laporan BH berkata kontraktor pembinaan kondominium dekat Bandar Baru Sentul itu disyaki gagal mematuhi prosedur operasi (SOP) pengendalian kren di tapak projek terbabit.
Jelasnya mengikut prosuder, plat besi sepatutnya diletakkan dibawah kren berkenaan, namun berdasarkan gambar kejadian itu, pihaknya melihat tiada plat keluli berkenaan.
“Siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dijalankan. Semua majikan patutnya sudah tahu mengenai penggunaan plat keluli itu kerana ia adalah prosedur biasa,” katanya menurut laporan itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang kelmarin, empat individu termasuk seorang bayi lelaki berusia tiga bulan, cedera selepas sebuah kren berantai di tapak projek pembinaan kondominium di Bandar Baru Sentul tumbang.
Kren terbabit dilaporkan menghempap tiga rumah dan dua kereta, sekali gus menghalang laluan jalan raya di lokasi terbabit.