Umno umum tarik balik sokongan dari PN serta merta


UMNO malam tadi telah memutuskan untuk menarik balik sokongan mereka kepada Perdana Menteri, Mahiaddin md Yasin serta merta.

Perkara itu dimaklumkan Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi susulan keputusan dibuat Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat di Kuala Lumpur.

Keputusan itu dibuat kurang 12 jam setelah Muhyiddin mengumumkan pelantikan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalannya, manakala Hishammuddin Hussein dilantik sebagai menteri kanan.

Justeru kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi. Umno mendesak agar Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang perdana menteri baru dilantik untuk satu tempoh yang terhad.

"Tempoh perdana menteri yang baru akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan.

"Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, perdana menteri baru mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15.

"Ini penting bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan sebagaimana terhasrat dalam Titah Yang di-Pertuan Agong," katanya.
 
Perhimpunan Agung Umno pada Mac lalu memberikan mandat kepada Ahmad Zahid dan Majlis Tertinggi untuk memutuskan bilakah parti itu akan menarik sokongan daripada kerajaan PN.

Ahmad Zahid ketika itu berkata dia yakin menteri-menteri Umno akan meletakkan jawatan apabila keputusan dibuat.


Menurut beliau lagi, keputusan membawa Umno keluar dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu dibuat berpandukan kepada tujuh kegagalan kerajaan pimpinan Mahiaddin itu.

Kerajaan PN didakwa gagal
Setelah diperhalusi jelasnya, Umno mendapati Muhyiddin gagal memuaskan garis panduan yang ia tetapkan pada 11 Mac 2020 sebagai syarat meneruskan sokongan kepada kerajaan beliau iaitu:

  • Gagal menangani pandemik Covid-19 secara berkesan sehingga mencetuskan keresahan dan kemurungan serius rakyat.

  • Menyalahgunakan darurat yang hanya untuk muslihat politik hingga memudaratkan rakyat dan ekonomi.

  • Gagal mempertahankan sistem demokrasi berparlimen hingga memandulkan segala amalan demokrasi semak dan imbang
     
  • Gagal menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan untuk semua peringkat dan kategori.

  • Gagal memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat dalam menguruskan kebajikan mereka hingga berlaku peningkatan serius dalam permasalahan sosial seperti kes bunuh diri.

  • Gagal mengurus kestabilan politik dan ekonomi hingga mewujudkan ketidakyakinan pelabur terhadap kemampuan menguruskan negara dan pandemik.

  • Memperkotak-katikkan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu hingga terpaksa berulang-kali mengeluarkan kenyataan media dan titah menghadap supaya Parlimen dibenarkan bersidang dan membahaskan ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara.


Post a Comment

0 Comments