Covid-19: Ahli Parlimen desak kerajaan atasi isu katil kurang

 

KERAJAAN terutama Kementerian Kesihatan (KKM) digesa campur tangan segera dengan keadaan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Charles Santiago yang merupakan Ahli Parlimen mewakili kawasan itu berkata beliau mendapat laporan berlaku kekurangan katil di Hospital itu sehingga pesakit Covid-19 terpaksa diletakkan di pekarangan bangunan.

Dalam kenyataannya, beliau berkata bahawa keadaan itu amat menyayat hati dan ia menggambarkan situasi sistem kesihatan dihadapi negara kini.

“HTAR dibelenggu dengan bilangan katil yang sedikit, petugas barisan hadapan yang keletihan dan peralatan perubatan yang semakin rosak.

“Sebagai Ahli Parlimen Klang, saya meminta kerajaan persekutuan segera campur tangan untuk mengurangkan keadaan yang semakin mengancam di HTAR,” katanya dipetik.

Beliau akan menulis kepada KKM untuk meminta penambahan segera peruntukan bagi  hospital berkenaan selain mahu kemudahan sementara berasingan didirikan untuk menampung pesakit Covid-19di hospital berkenaan.

Bagi meringankan masalah dihadapi hospital berkenaan, Charles turut menggesa kerajaan menggunakan hotel bajet dan dewan orang ramai berhampiran sebagai langkah sementara untuk menempatkan pesakit terlibat.

Manakala sebagai Ahli Parlimen, beliau menyeru syarikat-syarikat besar di kawasan Klang tampil berganding bahu dalam saat genting ini dengan memberi sokongan kepada hospital dengan menyumbangkan peralatan perubatan yang diperlukan segera.

Sejak seminggu lalu, Jabatan kecemasan di hospital-hospital di Lembah Klang berdepan tekanan hebat dengan wad Covid-19 kini menampung pesakit melangkaui kapasitinya.

Seorang kakitangan kesihatan HTAR sebelum ini dilapor memuat naik video di media sosial yang memaparkan pesakit dalam keadaan tenat menunggu katil dan kerusi roda di jabatan kecemasan.

Malaysiakini dalam laporan pada 2 Julai lalu berkata, kira-kira 100 pesakit, termasuk yang bukan dijangkiti Covid-19, sedang menunggu katil di jabatan kecemasan HTAR.

Hospital di Lembah Klang berdepan situasi sukar
Ini bermakna jabatan kecemasan perlu membrikan perkhidmatan seperti sebuah wad - walaupun ia bukan untuk tujuan itu.

Sementara itu, di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kakitangan di jabatan kecemasan terpaksa melaksanakan prosedur perubatan penting - ada diantaranya melibatkan nyawa - di lantai.

Ini kerana tiada katil - mahupun katil lipat kanvas - yang kosong, kata kakitangan kesihatan dipetik laporan sama. 

Post a Comment

0 Comments