Remaja maut terbabas, motosikal rentung


REMAJA
lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 3 Jalan Ipoh - Lumut di Manjung, malam tadi.

Dalam kejadian pada 9.15 malam itu, Harith Iqhwan Yuseri, 16, yang penunggang motosikal Yamaha 135LC meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di leher.

Memetik laporan BH, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kemalangan membabitkan motosikal ditunggang mangsa dengan sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berusia 42 tahun.

Tambahnya, siasatan awal pihak polis mendapati kereta berkenaan dari arah Sitiawan menghala ke Ayer Tawar manakala Harith pula dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai penunggang motosikal hilang kawalan dan masuk ke laluan kereta lalu terlanggar bahagian hadapan kereta itu.

“Akibat kemalangan itu motosikal terbabit terbakar dan penunggang pula parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat manakala pemandu kereta berkenaan tidak cedera.

“Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments