Fuziah Salleh gesa hormat arahan Presiden Parti


PENGERUSI
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)  Pahang,  Fuziah Salleh menegur perbuatan beberapa pemimpin parti itu yang membuat kenyataan dan tuduhan secara terbuka di media dan tidak melalui saluran dalaman parti.


Tegasnya pemimpin terlibat perlu sedar bahawa perbalahan dan sikap tuduh menuduh secara terbuka dalam krisis pergeseran beberapa pihak dalam parti itu akan menjejaskan imej parti.

Malah Fuziah memberi ingatan bahawa indakan itu juga tidak dapat menyelesaikan kemelut dalaman yang dihadapi PKR ketika ini.

"Saya harap semua ahli parti mematuhi nasihat dan arahan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menggunakan saluran parti bagi menyelesaikan masalah," katanya dipetik.

Kelmarin, Anwar membuat arahan tegas agar semua pihak menggunakan saluran dalaman dan berhenti membuat kenyataan terbuka berkaitan perbalahan yang berlaku.

Arahan itu dibuat dipercayai susulan ucapan beberapa pemimpin pada satu majlis Makan Malam di Kuala Lumpur baru-baru ini yang menyaksikan sekumpulan aktivis reformasi sebelum ini tampil mengkritik tindakan biadap mereka.

Anwar yang dilihat beberapa kali cuba menenangkan suasana mengingatkan individu tidak berpuas hati terhadap apa-apa isu mengemukakan pandangan serta bantahan dengan menggunakan saluran parti khususnya kepada lembaga disiplin dan tidak sewenangnya kepada media.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan itu, Fuziah berkata, arahan itu jelas menunjukkan bahawa parti berfungsi untuk menyelesaikan masalah berbanding 'berperang' sesama sendiri.

"Jika ada bukti perlanggaran disiplin atau perlembagaan parti oleh mana-mana pemimpin atau ahli, kaedah wajar ialah menghantar laporan kepada Lembaga Disiplin Parti untuk tindakan lanjut.

"Biar parti menyelesaikan kemelut yang dihadapi ketika ini," katanya.

Terdahulu, NGO yang menggelar diri mereka sebagai Otai Reformis 98 menggesa Zuraida Kamarudin, Azmin Ali, pembantunya Hilman Idham dipecat kerana tindakan biadap mereka menyerang Anwar dihadapan penyokong mereka.

Beberapa pemimpin lain yang berada dalam kem Azmin Ali turut dinamakan dalam memorandum disampaikan.

Zuraida baru-baru ini berkata, beliau bersetuju dengan saranan Anwar supaya perbalahan diredakan.

Post a Comment

0 Comments