KEADILAN Sarawak kini dipimpin 'Council of Elders'


PARTI
Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sarawak bakal dipimpin oleh 'Council of Elders'selepas bekas pengerusinya, Larry Sng Wei Shien bertindak keluar parti dan menyokong Perikatan Nasional (PN)

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai mengulas hala tuju parti itu terutama persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tidak lama lagi.

Menurut Saifuddin, Majlis penasihat itu akan dianggotai beberapa pemimpin kanan parti di negeri itu.

"Beberapa pimpinan kanan Sarawak akan dilantik mengetuai kepimpinan di negeri itu yang dikenali dengan 'Council of Elders'," katanya.

Tindakan Ahli Parlimen Julau itu meninggalkan parti itu juga jelas Saifuddin tidak menjejaskan persiapan KEADILAN dan sekutunya dalam persediaan menghadapi Pilihan raya Negeri (PRN) itu yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Setakat ini jelasnya semua persediaan sudah hampir diselesaikan.

"Persiapan sudah sampai peringkat akhir, sudah 90 peratus, walaupun mereka keluar parti, langsung tidak menjejaskan persiapan kerana semua dah hampir siap," katanya lagi.

Sementara itu, Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak mengutuk tindakan Larry.

Ketua AMK Negeri, Saifunnizam Sam berkata pihaknya kecewa dengan tindakan yang dianggap sebagai tidak bermaruah itu.

Bagaimanapun tegasnya, AMK yakin pengunduran Larry tidak akan menjejaskan kepimpinan parti di peringkat negeri memandangkan ketokohan ramai ahli Majlis Pimpinan Negeri yang lain.

 Persiapan hadapi PRN tidak terjejas
"Kami (AMK Sarawak) yakin semua pihak, baik di peringkat negeri mahupun cabang akan terus fokus dengan agenda kepentingan rakyat dan pelbagai gerak kerja parti di lapangan sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi,” tegasnya.

AMK Sarawak juga tegasnya akan kekal berpegang teguh kepada prinsip-prinsip dan landasan perjuangan parti sejak penubuhannya di samping menyokong penuh kepimpinan Presiden Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 

Post a Comment

0 Comments