Parlimen boleh bersidang semula pada Mei - bekas timbalan menteri

 

PARLIMEN boleh kembali bersidang pada Mei selepas semua Ahli Parlimen diberi vaksin Covid-19, tegas bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Ahli Parlimen dari KEADILAN itu memberi cadangan tersebut susulan rancangan untuk mevaksin semua 220 Ahli Parlimen menjelang pertengahan April dan mematuhi tempoh notis 28 hari yang diperlukan untuk persidangan Parlimen.

Tambahnya, tiada alasan untuk Parlimen tidak bersidang terutama setelah banyak aktiviti dan perniagaan kini kembali dibenar dijalankan semula.

“Kita perlu bersedia menjelang Mei untuk mengadakan persidangan pertama untuk tahun ini.

"Lagipun jika spa dan salun kecantikan sekarang dibenarkan untuk dibuka di bawah PKPB, mengapa tidak Parlimen,” kata dipetik laporan FMT.
 
Putrajaya sebelum ini mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang akan ditamatkan dan diganti dengan PKP bersyarat (PKPB) mulai 5 Mac.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut berdasarkan data yang menunjukkan penurunan trend kadar jangkitan Covid-19.

Parlimen sudah boleh bersidang
Sementara itu, Boon Chye turut menyeru speaker Dewan Rakyat Azhar Harun memulakan perancangan untuk persidangan itu kerana Setiausaha Parlimen diminta memberi notis 28 hari kepada Ahli Parlimen, sebelum sebarang persidangan dibuat.

Tambahnya, penghadang lutsinar di setiap meja Ahli Parlimen di Dewan Rakyat perlu dikekalkan, selain dari semua SOP sedia ada terus diguna pakai untuk memastikan tiada penyebaran Covid-19 berlaku.