Mengapa lantik Shahidan? lebih ramai layak jadi pengerusi PR1MA - AMK


TINDAKAN kerajaan melantik Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim sebagai pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dipersoalkan.

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) melalui ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir melalui satu kenyataan menegaskan bahawa terdapat lebih ramai golongan profesional berbakat mempunyai lebih kelayakan menggalas jawatan berkenaan berbanding Shahidan.

“Sudah pasti timbul pertanyaan atas kapasiti apa beliau dilantik tatkala begitu ramai profesional yang berbakat, berpengalaman luas dan diyakini mampu mengeluarkan PR1MA daripada belenggu permasalahan yang begitu merunsingkan,” kata Ahli Parlimen Johor Bahru itu.

Semalam, Zuraida mengumumkan pelantikan Shahidan sebagai pengerusi agensi yang bertujuan meningkatkan akses golongan berpendapatan sederhana kepada perumahan kos sederhana berkuat kuasa serta-mert.

Menurutnya, pengalaman Ahli Parlimen Arau dari Umno itu amat diperlukan untuk melonjakkan prestasi PR1MA.

Sementara itu, Akmal memaklumkan beliau  tidak terkejut dengan pengumuman pelantikan itu semalam, kerana ia sudah dibuat sejak sebulan lalu melalui laman sesawang PR1MA yang sudah dikemaskini dan meletakkan Shahidan sebagai pengerusi.
 
“’Scheme of Things’ yang menjadi amalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan menawarkan jawatan kepada Ahli Parlimen dilihat terus aktif dengan lantikan Shahidan,” katanya lagi.

Dalam kenyataan sama,  Akmal turut mempersoal kesungguhan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dalam menyelesaikan perkara berkaitan projek PR1MA kerana selepas tiga tahun menjadi menteri, isu tersebut masih tidak selesai.

 Akmal tidak terkejut dengan perlantikan Shahidan
“Sebagai contoh, terdapat beberapa kekeliruan jika dilihat kepada jawapan menteri di Parlimen. Pada 17 Okt 2019, menteri menyatakan bahawa 56 fasa projek pembangunan bernilai RM9.98 bilion bawah PR1MA dibatalkan. Namun, pada 7 Dis 2020, menteri sama menyebutkan jumlah projek PR1MA yang dibatalkan adalah sebanyak 32 projek.

“Sehubungan itu, saya menggesa menteri dapat segera mendedahkan senarai setiap pemaju serta kos pampasan yang perlu dibayar kepada mereka bagi 32 projek yang telah dibatalkan, senarai projek yang dipinda tarikh siap, senarai projek lewat dan terbengkalai,” katanya lagi.