Lawatan PM ke Johor kukuh hubungan negeri dan Persekutuan


LAWATAN kerja Perdana Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Johor pada Jumaat diharap dapat meningkatkan lagi hubungan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang mengiringi lawatan Anwar semalam mengucapkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Azmi Rohani yang menyambut ketibaan Perdana Menteri.

“Saya juga berterima kasih kepada Menteri Besar (Johor) kerana sama-sama menyambut kehadiran Perdana Menteri, dengan harapan supaya hubungan pusat dan negeri Johor dapat dipertingkatkan,” katanya.

Sementara itu Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru memaklumkan beberapa perkara sempat dibincangkan bersama Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.

Ia antaranya berhubung isu beberapa kawasan di Johor yang kerap berlaku banjir.

“Saya sempat mengangkat permasalahan isu banjir ini, dan sememangnya komitmen kerajaan pusat seperti banjir di Segamat memang kami akan teruskan.

“Cuma perincian itu akan menyusul, begitu juga isu berkaitan banjir kilat di bandar raya Johor Bahru,” kata Pengarah Strategi parti KEADILAN itu.

Anwar memulakan lawatan semalam dengan menghadap  Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene di Johor Bahru.
 
Beliau kemudiannya meluangkan kira-kira 25 minit menjamu selera dan beramah mesra dengan masyarakat di sebuah medan makan di Kampung Melayu Majidee.

Beliau selepas itu ke Masjid Jamek Kampung Melayu Majidi yang terletak kira-kira 40 meter dari medan selera tersebut untuk menunaikan solat Jumaat.

Anwar yang menerima sambutan meriah dengan kehadiran kira-kira 3,000 masyarakat setempat kemudian menandatangani plak perasmian masjid berkenaan sebelum kemudian pulang ke ibu negara.

“Beliau memang maklum kepada saya untuk aturkan, kalau sempat untuk solat Jumaat dan dalam banyak masjid, Masjid Kampung Melayu Majidee dipilih kerana ada sejarah dan nostalgia Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan (pecah tanah bangunan baharu masjid itu) pada 1995," kata Akmal.

Isu banjir sempat dibincangkan dalam pertemuan
Sementara itu Anwar melalui hantaran di Facebooknya menjunjung kasih terhadap Sultan Johor yang berkenan menerima beliau menghadap selama hampir sejam itu adalah bersempena lawatan kerja beliau ke Johor Bahru.

"Dalam sesi menghadap tersebut, saya telah berikan penjelasan terkait soal pembangunan negara serta negeri Johor Darul Ta'zim.

"Mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala semoga Duli Tuanku serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan. Daulat Tuanku," katanya Ahli Parlimen Tambun itu.

Post a Comment

0 Comments