AMK cadang Najwan Halimi dilantik isi kekosongan exco


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi dicadangkan agar dilantik sebagai exco kerajaan negeri Selangor yang baru.

Cadangan itu diusulkan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor susulan kekosongan jawatan itu yang perlu diisi sekurang-kurangnya hujung bulan ini.
https://t.me/kartelmedia
Pengarah Komunikasi AMK negeri, Mohd Khairool Ngadon berkata, perkara itu diputuskan melalui mesyuarat majlis pimpinan AMK negeri yang diadakan semalam.

Dalam satu kenyataan Mohd Khairool berkata, enam perkara diputuskan pada mesyuarat itu termasuk usul berkenaan.

"Kita mengusulkan kepada menteri besar Selangor supaya melantik Mohd Najwan Halimi, sebagai anggota majlis Mesyuarat kerajaan negeri Selangor yang baharu," tegasnya.

Kekosongan itu susulan jawatan Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan yang disandang wakil rakyat Bersatu, Abdul Rashid Asari berakhir selepas parti itu tidak lagi menjadi sebahagian gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN), manakala penyandang jawatan Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha pula dilucutkan keahliannya daripada KEADILAN.

Sementara itu, AMK dalam mesyuaratnya turut menegaskan bahawa pihaknya juga akan menggerakkan inisiatif menambah keanggotaan di peringkat AMK cabang khususnya dalam kalangan golongan belia di antara usia 18 hingga 35 tahun.

Selain itu AMK Selangor menyokong pendirian Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk berusaha ke arah mengembalikan mandat rakyat dengan pencalonan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

"AMK Selangor menyokong pendirian Majlis Presiden PH untuk berusaha ke arah mengembalikan mandat rakyat dengan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri," katanya.
 
Terdahulu media melaporkan bahawa dua jawatan exco dalam kerajaan Selangor yang kini kosong akan diisi selewat-lewatnya sebelum hujung bulan ini.