Aktivis politik anggap PN tiada majoriti dalam dewan


AKTIVIS
politik, Abd Malek Hussin menyifatkan Perikatan Nasional (PN) tidak berani untuk membuat usul bagi menggantikan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff.

Memetik laporan Malaysiakini, Abd Malek membuat tanggapan itu susulan tindakan PN tidak mencabar jawatan Mohamad Ariff Md Yusoff sebagai speaker, yang dipilih ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Tambahnya, PN tidak yakin mempunyai majoriti jelas, sedangkan, waktu untuk nama calon speaker dikemukakan telah pun berlalu.

“Kenapa dia (PN) tak mahu tukar speaker yang dipilih semasa PH mengambil alih kerajaan semasa PRU (pilihan raya umum) lalu?

“Setakat ini, undi melucut mestilah dibuat melalui usul. Dia (Mohamad Ariff) tak letak jawatan, dan tidak ada usul dari kerajaan untuk melucutkan dia,” katanya menurut portal itu. 

Menurut perkara 4 (1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, nama calon speaker hendaklah dicadangkan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum persidangan, iaitu selewat-lewatnya pada 4 Mei lalu.

Menurut pandangannya, jika pun PN berasakan mereka mempunyai majoriti, ia pasti ramalan angka yang tipis yang masih menjadi kebimbangan buat mereka, lebih-lebih lagi majoriti mereka belum teruji di Parlimen sejak kerajaan ditubuhkan Mac lalu.

“Kalau dia yakinlah dia ada majoriti, saya berpendapat dia akan mengemukakan usul untuk melucutkan speaker, kemudiannya akan mencadangkan pengganti,” tambah Abd Malek.

Difahamkan sebelum ini ada laporan bahawa PN mahu mencalonkan Anggota Parlimen Pengerang Azalina Othman Said untuk menggantikan Nga Kor Ming sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Sementara itu tambahnya, sekiranya usul bagi menggantikan Mohamad Ariff dibuat oleh PN, maka ia akan menjadi agenda utama persidangan Dewan Rakyat 18 Mei nanti.

Bagaimanapun kedudukan PN sebagai kerajaan akan tergugat sekiranya usul itu gagal kerana rakyat akan dapat melihat bahawa gabungan itu tidak mempunyai majoriti yang jelas.

“Saya berpendapat, kerajaan Muyidin akan elak sedaya-upaya sebarang pengundian atas apa-apa urusan pun,” katanya, yang turut berasakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin pun tidak akan berjaya diadakan pada sidang yang akan datang.

“Saya tak rasa begitu (undi tidak percaya diteruskan). Tentu kerajaan akan sabotaj usul itu dengan menangguhkan sidang,” katanya lagi.