JAWATANKUASA Pemandu Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, yang dianggotai 10 wakil kerajaan dan pembangkang dijadualkan bertemu Khamis ini.
Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail dipetik laporan media berkata pertemuan itu bagi memperhalusi dan mengemas kini beberapa perkara berkaitan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti, sebelum ia dibentangkan pada sidang khas Parlimen, 11 April.
“Hanya perlu lakukan ‘fine-tuning’ atau kemas kini terhadap beberapa perkara atau klausa dalam RUU itu.
“Perdana Menteri meminta pandangan kami (pembangkang) dan kita kata, aktifkan semula Jawatankuasa Pemandu, selain kita bersetuju pada 31 Mac ini mengadakan pertemuan untuk perhalusi perkara itu,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan parti itu di Lembah Pantai semalam.
Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha sekretariat HARAPAN turut menjelaskan bahawa Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob telah menyatakan komitmen kerajaan dalam membentangkan RUU itu, selain meminta pandangan blok pembangkang bagi memperhalusinya sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.
Pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat pada 24 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembentangan RUU itu akan diadakan dalam sidang khas Parlimen pada 11 April.
Wan Junaidi berkata, perkara itu dipersetujui Perdana Menteri yang turut bersetuju melanjutkan sidang khas itu, sekiranya masa satu hari bagi membincangkan RUU berkenaan tidak mencukupi.
Difahamkan, rang undang-undang berkenaan adalah isu penting yang telah ditetapkan dalam MoU kedua belah pihak.
Hasrat mewujudkan Akta Anti Lompat Parti pernah menjadi tajuk perbincangan dunia politik negara seawal 1978 di negara ini
Perbahasan mengenainya timbul semula pada 1992 berikutan tuntutan mahkamah dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Nordin Salleh terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang meluluskan peruntukan menghalang ADUN bertukar parti.
Dalam sistem pemerintahan berdasarkan kepada pembentukan kerajaan berteraskan bilangan kerusi Parlimen, undang-undang menghalang pertukaran parti penting kerana keputusan pilihan raya boleh digagalkan akibat tindakan melompat parti.
![]() |
Budaya lompat parti bawa kesan buruk |
Akibat daripada perbuatan bertukar parti ini, luntur rasa hormat rakyat terhadap institusi Parlimen kerana kehilangan kepercayaan terhadap Ahli Parlimen yang dipilih melalui pilihan raya.
0 Comments