Pemilihan: Fahmi Zainol dijangka bersaing dengan Adam Adli

 


BEKAS aktivis pelajar, Fahmi Zainol mengumumkan akan bertanding jawatan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) pusat dalam pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Perkara itu diumumkan sendiri ketua AMK Pulau Pinang itu dalam satu sidang media semalam yang turut memperkenalkan pasukannya dalam pemilihan itu nanti.

Pasukan Fahmi dilihat dibarisi pemimpin muda berkebolehan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti ADUN, pelajar, aktivis politik dan profesional.

Mereka termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat dan Ketua Pemuda KEADILAN Melaka, Prasanth Kumar yang masing-masing akan merebut jawatan Timbalan Ketua Pemuda dan Naib Ketua sayap itu.

Selain itu, Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran juga menyertai barisan diketuai Fahmi dan akan bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Eksekutif AMK.

“Saya yakin kepelbagaian ini mampu menambat hati akar umbi dan juga belia Malaysia daripada pelbagai latar belakang.” katanya.

Jawatan Ketua AMK kini disandang Ahli Parlimen Johor Baharu, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, manakala ura-ura menyatakan bekas aktivis pelajar, Adam Adli turut akan bertanding ke jawatan itu.

Pada 2011, Adam yang merupakan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terpalit kontroversi menurunkan bendera memaparkan gambar Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Dua bekas aktivis pelajar dijangka bersaing
Fahmi Zainol pula merupakan pemimpin pelajar Universiti Malaya (UM) yang pernah dikenakan tindakan tatatertib selepas menjemput Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di universiti itu pada 2014.

Sementara itu Fahmi mengalu-alukan penyertaan Adam dalam pemilihan itu dan berharap persaingan sihat antara mereka.

Post a Comment

0 Comments