Perlis benar solat jumaat bersyarat mulai 15 Mei


PERLIS
membenarkan solat Jumaat bersyarat di negeri itu mulai 15 Mei ini.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika mengumumkan perkara itu dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Bagaimanapun solat Jumaat itu menetapkan jumlah jemaah, termasuk imam/khatib tidak melebihi 12 orang dan tidak kurang dari 2 orang dengan hanya pegawai masjid dan ahli jawatankuasa masjid yang dibenarkan.

Menurutnya Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs berkata, kebenaran itu tidak dapat diizinkan kepada masyarakat awam disebabkan ancaman penularan wabak Covid-19 yang belum pulih sepenuhnya.

“Masjid tidak boleh dibuka kepada orang ramai sebaliknya mereka yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat ialah pegawai dan ahli jawatankuasa masjid sahaja.

"Jemaah perlu membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekod kehadiran di buku kedatangan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Mereka yang berumur 60 tahun ke atas tidak dibenarkan hadir.

Selain itu, mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak, selesema serta mempunyai sejarah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi, lelah dan penyakit barah juga tidak dibenarkan

Tuanku Syed Faizuddin berkata, jemaah yang hadir juga perlu memakai penutup hidung dan mulut dan melaksanakan jarakan sosial sekurang-kurangnya pada jarak 2 meter ketika solat.

Selain itu jemaah juga perlu berwuduk sebelum hadir ke masjid dan membawa sejadah sendiri, selain solat diutamakan di tempat terbuka seperti di anjung masjid.

Turut tidak dibenarkan ialah kontak fizikal seperti berjabat tangan  sama ada sebelum atau selepas solat dan semua jemaah perlu beredar dari masjid selepas selesai solat.

Sementara Pengerusi masjid dipertanggungjawab memastikan semua syarat dipatuhi dan kegagalan untuk mematuhi semua syarat akan menyebabkan masjid berkenaan tidak dibenarkan untuk mengadakan solat Jumaat.

Difahamkan, MAIPs mengeluarkan peraturan itu setelah mengambil kira pandangan Jabatan Fatwa Negeri Perlis, Jawatankuasa Muzakarah Khas Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Post a Comment

0 Comments