SEBUAH portal melaporkan tindakan sebuah kolej yang didakwa meminta kakitangan yang tidak bersetuju dengan langkah pengurangan kos untuk mengambil cuti tanpa gaji atau meletak jawatan.
FMT dalam laporannya semalam mendakwa pilihan itu terkandung dalam memo bertarikh 30 Jun yang disampaikan Naib Canselor Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) , Mohamed Haleem Mohamed Razi kepada kakitangan kolej berkenaan.
“Anda sepatutnya membuat keputusan melalui borang yang disertakan dalam memo ini kepada Jabatan Sumber Manusia kolej sebelum tengah hari 2 Julai,” petik FMT dari memo tersebut.
Dalam memo terdahulu bertarikh 15 Jun lalu, Haleem meminta 200 kakitangan USCF menerima pemotongan gaji sebanyak 50% susulan masalah kewangan yang dihadapinya akibat pengambilan pelajar baru yang rendah.
Mohamed Haleem turut memberi bayangan kemungkinan kakitangan bercuti tanpa gaji mulai Oktober ini, jika kedudukan kewangan kolej tidak bertambah baik selepas pengambilan pelajar pada September ini.
UCSF hanya mencapai 18% daripada sasaran pendaftaran pelajar pada April lalu. Ia ditubuhkan pada 2013 adalah anak syarikat Yayasan Sabah, sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri yang mempunyai hampir 200 kakitangan dengan 400 pelajar ketika ini.
Setakat ini belum ada kenyataan dari UCSF bagi mengesahkan kesahihan memo tersebut.
0 Comments