Abdul Aziz Bari ketua pembangkang DUN Perak


BEKAS Exco Kerajaan Negeri Perak, Dr Abdul Aziz Bari dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Perak yang baharu.

Perkara itu diumumkan Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (HARAPAN) Perak, V Sivakumar dalam satu kenyataan dengan berkata lantikan itu dibuat menerusi Majlis Pimpinan HARAPAN negeri.

"Beliau adalah seorang pakar undang- undang khususnya dalam bidang Perlembagaan.

"Beliau juga merupakan tokoh akademik dan mantan Profesor Fakulti Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

"Majlis Pimpinan HARAPAN percaya, beliau akan memainkan peranan utama sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Perak dalam sistem demokrasi berparlimen negara kita," kata kenyataan tersebut.

Sebagai rekod, Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi pernah menyandang jawatan sebagai Exco Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dari 2018 hingga Februari 2020.

Pada 9 Mac lalu, pentadbiran negeri Perak yang ketika itu diketuai HARAPAN bertukar setelah Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu mengumumkan majoriti baharu  dengan gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas.

Langkah mengejutkan itu dibuat susulan krisis politik negara yang berpunca dari 'langkah Sheraton' yang menyaksikan satu gabungan politik baru diadakan bagi mengambil alih pentadbiran Putrajaya.

HARAPAN di Perak kini diwakili 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DAP (16), Amanah (5) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR-3) dengan persidangan DUN Perak akan berlangsung pada 12 Mei ini dengan pentadbiran kerajaan yang dibentuk bukan melalui Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.