Cuepacs gesa mudahkan pembayaran elaun petugas hadapan



KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu isu berkaitan pembayaran elaun petugas barisan hadapan koronavirus (Covid-19) diselesaikan.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat membuat gesaan itu selepas isu tersebut yang dibangkitkan sebelum ini tidak mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya.

Sehubungan itu, Cuepacs menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) dapat melonggarkan kerenah birokrasi yang merumitkan proses tuntutan. Mereka turut mengingatkan agar kementerian tersebut menidakkan kelayakan petugas yang sepatutnya berhak menerima elaun tersebut.

"Cuepacs menggesa satu perjumpaan atau perbincangan dapat diadakan melibatkan pengurusan tertinggi KKM bersama dengan wakil-wakil kesatuan, wakil pekerja serta Cuepacs sendiri bagi menyelesaikan isu tuntutan elaun Covid-19.

"Cuepacs berpandangan perbincangan dua hala antara majikan dan pekerja dapat menyelesaikan isu ini secara total tanpa perkara berbangkit di kemudian hari," kata mereka dalam satu kenyataan.

Sebelum ini sebuah portal menyiarkan surat luahan petugas barisan hadapan yang merasa tidak puas hati dengan kerenah birokrasi melampau pihak pentadbiran tertinggi KKM yang didakwa telah mempermainkan perasaan golongan itu dalam pemberian elaun Covid-19.

"Perlu diingatkan ada petugas yang ditempatkan di lapangan masing-masing tidak dibenarkan balik berminggu-minggu, cuti dibekukan, syif kerja yang membebankan dan sehingga kini tidak dibenarkan mengambil cuti," kata Ceupacs lagi.

Selain itu, Cuepacs juga menggesa agensi dan jabatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), imigresen, kastam dan lain-lain turut sama meneliti dan memudahkan urusan pembayaran elaun khas yang diterima untuk petugas barisan hadapan mereka.

Tegas mereka, elaun diberikan adalah suntikan semangat kepada petugas barisan hadapan.

"Janganlah kita lunturkan semangat dengan kerenah birokrasi yang dicipta sendiri.

"Penjawat awam kekal dengan mantera Berkhidmat Untuk Negara demi keharmonian dan kemakmuran rakyat," tegas Cuepacs lagi.

Post a Comment

0 Comments