Tun M sifatkan pentadbiran Muhyiddin hakis demokrasi


PENGERUSI
parti Bersatu, Tun Dr Mahathir mendakwa proses demokrasi di negara ini kian terhakis di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bercakap pada program Perutusan 9 Mei: Mandat Rakyat bersempena sambutan ulang tahun kedua Pakatan Harapan (HARAPAN) di Facebooknya, Dr Mahathir berkata, perkara itu dapat dilihat apabila pentadbiran Muhyiddin Yassin cuba untuk mengelak daripada mengadakan sidang Dewan Rakyat.

“Jadi saya hairanlah apa sebenarnya kerajaan Muhyiddin ini, kalau kita dapati dalam mesyuarat Dewan Rakyat tidak ada sokongan majoriti maka dia tidak berhak menjadi Perdana Menteri.

“Untuk elak daripada itu berlaku dia tidak benarkan kita bermesyuarat dan hanya buat mesyuarat satu hari sahaja serta tidak membenarkan untuk membawa usul,” kata Dr Mahathir.

Semalam, Dr Mahathir dan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan dibentuk Muhyiddin sebagai tidak sah kerana tidak mempunyai mandat dari rakyat melalui Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.


BACA:
K'jaan Muhyiddin tak sah, tegas Tun M dan Anwar 


Kedua-dua mereka berjanji untuk mengembalikan semula mandat diberi oleh rakyat itu.

Sementara itu, Dr Mahathir turut menyifatkan tindakan pentadbiran Muhyiddin enggan mengadakan sidang Dewan Rakyat seperti dituntut mereka sebagai usaha yang seolah-olah menyekat proses demokrasi.

Menurutnya, dengan tanpa mesyuarat di Dewan Rakyat mereka tidak boleh menentukan kedudukan Muhyiddin dan strategi itu dilihat tidak demokratik.

“Kalau dulu kerajaan Najib (Datuk Seri Najib Razak) dikatakan kerajaan pencuri atau kleptokrasi tetapi kerajaan Muhyiddin ini pula tidak memberi peluang buat kita untuk berbahas dalam Parlimen bukan lagi kerajaan demokratik tetapi tiada ketetapan.

“Inilah yang dilakukan secara tidak langsung dan saya harap rakyat faham apa yang berlaku,” tegasnya.

Sebagai rekod, Muhyiddin merupakan Presiden Bersatu, hubungan kedua mereka renggang susulan langkah Sheraton yang menyaksikan Muhyiddin bekerjasama dengan pembangkang ketika itu bagi mengambil kerajaan.