PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) secara rasmi telah menyatakan hasrat untuk menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN).
Hasrat itu dinyatakan Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu sidang media di Kuala Lumpur semalam.
Menurut Ahli Parlimen Muar itu, keputusan itu berdasarkan prinsip perjuangan yang sama dan setakat ini perbincangan untuk menyertai gabungan politik itu telah dibincangkan secara tidak rasmi bersama pemimpin tertinggi HARAPAN.
“Seperti saya kongsikan sejak sebaik sahaja tamat pilihan raya negeri Johor, telah ada beberapa siri rundingan tidak rasmi bersama dengan pimpinan tertinggi HARAPAN.
“Perbincangan awal penyertaan… ia bukan sekadar electoral pact atau pembahagian kerusi, (sebaliknya) penyertaan HARAPAN.
“Tetapi saya tidak boleh berikan komen lanjut sampai telah adanya rundingan rasmi. Di situlah kita akan buat keputusan bersama,” katanya.
Sebagai rekod, HARAPAN dianggotai Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Sebelum Muda menyatakan hasrat menjadi sebahagian dari HARAPAN, Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, pihaknya mahu memastikan HARAPAN dapat gabungan itu dapat membentuk kerajaan melalui Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Mereka mahu memastikan tiada pertindihan kerusi seperti berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berulang.
Muda dan HARAPAN konsgi ideologi serupa |
Hasil kerjasama Muda dan HARAPAN pada pilihan raya itu, ia menyaksikan Amira Aisya menang di kerusi DUN Puteri Wangsa sekaligus menjadi wakil rakyat pertama dari parti yang ditubuhkan sebaik kerajaan HARAPAN digulingkan melalui 'Langkah Sheraton' itu.
0 Comments