SEJUMLAH RM70,000 telah diperuntukkan kerajaan Perak menangani kes kecemasan serangan jantung di tempat awam sekitar bandar raya Ipoh.
EXCO Belia dan Sukan Negeri, Howard Lee Chuan How berkata, peruntukan itu bagi memasang 10 unit mesin peranti defibrilator luaran automatik (AED) yang berfungsi membantu individu dalam kes serangan jantung secara mengejut.
Buat masa ini jelasnya, empat daripada 10 mesin itu telah dipasang iaitu di Pusat Akuatik Tuanku Zara, Taman Dr Seenivasagam, Padang Ipoh dan Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz.
“Enam lagi mesin AED ini akan dipasang dalam masa sebulan atau dua bulan dari sekarang iaitu di Bukit Kledang, Dataran Majlis Bandaraya Ipoh, Bulatan Sultan Azlan Shah, Stesen Keretapi Ipoh, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh dan Gerbang Malam," katanya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pasir Pinji itu menjelaskan, pemasangan AED di kawasan awam amat penting kerana ia mampu menyediakan rawatan dalam kes kecemasan jantung terhenti akibat serangan jantung.
Pemasangan mesin AED juga jelasnya sebagai satu perkara positif yang mampu memupuk kesedaran masyarakat untuk mengetahui tentang kaedah atau cara pengendalian peranti tersebut secara khusus.
“Walaupun kerajaan boleh sumbangkan peruntukan untuk mesin ini tetapi yang paling penting adalah rakyat sendiri mesti belajar tentang AED ini. Tak guna kalau kita ada kemudahan begini tetapi rakyat tak mahu ambil tahu," katanya lagi.
Beliau turut menjelaskan, Kerajaan Negeri bercadang memperluas pemasangan AED berkenaan ke seluruh Perak jika mempunyai lebihan peruntukan untuk pemasangannya pada masa akan datang.
0 Comments