Polis tahan 6 suspek curi aksesori pasukan MotoGP


PIHAK Berkuasa Polis akhirnya berjaya menemui semula komponen dan aksesori motosikal milik pasukan yang dicuri pada perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah, berkata barangan itu ditemui semula hasil beberapa siri serbuan di sekitar Sepang dan Bangi, baru-baru ini.

“Kita menahan enam lelaki warga tempatan berumur lingkungan 23 tahun dan merampas barangan serta aksesori motosikal.

“Antara yang dirampas ialah empat beg pelbagai jenama, 26 unit brek pelbagai jenis, tujuh unit spanar, tiga batang demper, dua pemulas pendikit (handle grip), dua set pemanas tayar, dua helai jaket hitam berjenama, 14 unit skru dan enam botol minyak brek.

“Siasatan awal mendapati seorang suspek mempunyai bengkel motosikal dan difahamkan menjual barang curi terbabit kepada peminat motosikal untuk diubah suai,” katanya dalam sidang media.

Imej Malaysia sebagai penganjur perlumbaan MotoGP tercemar sebelum ini susulan insiden kecurian komponen dan eksesori bernilai lebih RM75,000  membabitkan lima hingga enam pasukan yang kehilangan komponen jentera Moto3 dan Moto2, dengan pasukan Angel Nieto paling terkesan.

Antara komponen yang dicuri di khemah pasukan berkenaan termasuk set lengkap penyerap hentak, angkup, cakera brek, komputer riba, alat bengkel dan pemanas tayar.

Difahamkan, dua daripada enam suspek didapati positif dadah dan mempunyai rekod lampau seperti jenayah curi motosikal.

“Antara suspek yang ditahan ialah pekerja sambilan sempena MotoGP dan mempunyai pas masuk ke kawasan Litar Antarabangsa Sepang (SIC),” katanya.