KERAJAAN Malaysia memanggil pulang 15 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berada di Qidong, Shanghai.
Cawangan Komunikasi Strategik TLDM menjelaskan pergerakan pulang kesemua anggota itu kini sedang diuruskan.
Kesemua anggota itu sebahagian 57 pegawai dan anggota lain-lain sedang mengikuti, pemantuan projek pembinaan dan latihan penyesuaian Kapal Misi Pesisir (LMS) sejak julai 2017 yang turut dijadualkan membawa kapal berkenaan pulang ke Malaysia pada pertengahan April, tahun ini.
“Daripada jumlah itu, seramai 42 orang pulang ke Malaysia susulan cuti perayaan Tahun Baharu Cina sejak 17 Januari lalu, manakala baki 15 orang masih berada di Qidong, Shanghai.
“TLDM sentiasa berhubung dengan mereka dan memantau perkembangan terkini di China. Sehingga kini, tiada sebarang kes jangkitan koronavirus (2019-nCoV) membabitkan warga TLDM.
“Bagaimanapun, sebagai langkah keselamatan, TLDM sedang menguruskan pergerakan pulang 15 anggota ini ke Malaysia dalam masa terdekat,” katanya TLDM dalam satu kenyataan.
Sementara itu, memastikan semua usaha pencegahan dan kawalan berupaya dilaksana secara lancar, TLDM menyuarakan harapan supaya tiada penyebaran maklumat tidak sah atau palsu berhubung coronavirus, membabitkan projek LMS sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Sebarang maklumat lanjut akan dihebahkan melalui saluran rasmi TLDM,” kata kenyataan tersebut.
0 Comments