PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerima Ijazah Kedoktoran Kehormat dalam bidang falsafah daripada Universiti Qatar di sini, semalam.
Anugerah itu dianugerahkan Presiden Universiti Qatar, Dr Hassan Al Derham.
Sebagai rekod, anugerah ini adalah yang kedua disampaikan oleh Universiti itu, sebelum ini Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dianugerahkan Ijazah serupa pada Disember 2015.
Penganugerahan itu adalah sebagai menghargai sumbangan Dr Mahathir dalam dunia akademik dan kerjaya politiknya memimpin negara.
Dalam ucapannya selepas itu, Dr Mahathir berkata, anugerah itu akan dikenang sebagai simbol ikatan yang kuat antara Malaysia dan Qatar.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Universiti Qatar kerana memberi anugerah ini dan amat menghargai pengiktirafan ini.
“Saya akan terus mencuba ke tahap terbaik memberi sumbangan bagi mengukuhkan hubungan Malaysia-Qatar,” katanya.
Mengulas lanjur, Dr Mahathir berkata, Malaysia percaya usaha mendapat ilmu adalah proses berterusan dan adalah hak bagi setiap individu untuk mempunyai akses kepadanya.
Malaysia dan Qatar berkongsi kepercayaan dan komitmen yang sama mengenai pentingnya pendidikan.
“Pendidikan akan meningkatkan keupayaan seseorang, dan boleh menjadi penentu penting dalam memperbaiki kehidupan.
“Saya percaya universiti memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang dan sokongan kepada pelajar untuk menerokai pengetahuan baharu dan merealisasikan potensi mereka.
“Untuk itu, saya berharap dapat melihat lebih banyak kerjasama antara Universiti Qatar dan universiti di Malaysia,” katanya.
0 Comments