K'jaan perkenal pakej internet separuh harga, tiga kali ganda kelajuan


KERAJAAN melalui Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) hari ini memperkenalkan pakej internet prabayar mudah alih dengan harga lebih rendah daripada harga semasa pasaran.

Menteri komunikasi, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan media berkata ia adalah penambahbaikan kepada Pakej Remaja prabayar Internet mudah alih sedia ada yang sebelum ini ditawarkan untuk golongan remaja berumur 12 hingga 24 tahun.

Bermula Febuari 2023, pakej itu yang dijenamakan semula sebagai Pakej Perpaduan akan diperluaskan kepada golongan belia berumur sehingga 30 tahun, B40, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan veteran tentera dan polis.

"Komitmen Kerajaan ini dizahirkan untuk mengurangkan kos sara hidup golongan sasar untuk memiliki perkhidmatan internet yang merupakan utiliti asas diperlukan rakyat.

"Penurunan harga ini meliputi langganan pakej prabayar yang disediakan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu Celcom-Digi, Maxis, Umobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications Sdn Bhd (YES).

"Pakej ini merupakan pakej asas yang disediakan dan ia terpulang kepada penyedia perkhidmatan untuk menawarkan nilai tambah ke atas pakej ini.

Menurut kenyataan media itu lagi, Pakej Perpaduan dengan harga RM30 ini menawarkan peningkatan kelajuan Internet mudah alih daripada 1Mbps ke 3Mbps dengan kuota ditingkatkan daripada 20GB untuk tiga bulan (80 hari) kepada 30Gb untuk tempoh lebih lama iaitu selama enam bulan (180 hari).

Antara usaha ringankan kos sara hidup rakyat
Melalui langkah terbaharu diusahakan kerajaan itu, pengguna dapat menikmati penjimatan harga sebanyak 50 peratus berbanding pakej sedia ada iaitu dari RM10 sebulan kepada RM5 sebulan.

"Langkah penurunan harga ini jelas menunjukkan bahawa keperluan rakyat untuk menikmati perkhidmatan komunikasi dengan harga lebih murah dan mampu milik diberi perhatian serius oleh Kerajaan Perpaduan," kata kenyataan itu.

Post a Comment

0 Comments