Kabinet pindah kuasa kawal selia gas di Sabah kepada k'jaan negeri


JEMAAH MENTERI hari ini bersetuju memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas di kawasan Sabah kepada Kerajaan Negeri itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu yang sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963.

“Untuk (bekalan) gas, kita pindahkan kuasa kawal selia bekalan gas yang dulu di peringkat Petronas dan Persekutuan, kini dipindahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah.

“Kelulusan Jemaah Menteri telahpun diperakui hari ini,” katanya pada sidang media selepas selesai mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di Bangunan Perdana Putra, hari ini.

Beliau turut memberitahu tarikh pemindahan kuasa kawal selia kepada Sabah itu akan diputuskan berdasarkan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah kelak.

Menjelaskan lebih lanjut, Perdana Menteri berkata, selepas pelaksanaan pemindahan kuasa kawalselia itu, Keraaan Sabah selepas ini boleh meneruskan sebarang rundingan mengenai bekalan gas di peringkat negeri, tanpa perlu menunggu Persekutuan.

Selain itu Perdana Menteri berkata, Jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof itu diberi masa satu bulan dari sekarang untuk memutuskan beberapa perkara baharu.

Sebagai sebahagian usaha tunai MA63
“Soal MA63 dipengerusikan TPM Fadillah, kita beri tempoh sebulan dan insya-Allah awal Januari, genap sebulan (dari sekarang) kita akan kemukakan beberapa kemajuan yang lebih baik untuk selesaikan sebahagian besar isu yang dibangkitkan.

“Walaupun begitu, ada ada hal-hal lain tentang pindaan undang-undang, itu terpaksa ditangguhkan sehingga sidang Parlimen seterusnya, tapi beberapa isu besar kita (Jemaah Menteri) dapat luluskan.”” katanya lagi.


Post a Comment

0 Comments