SEORANG peguam, Sankara N Nair mempersoalkan kenyataan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador yang memaklumkan pihaknya membuka siasatan terhadap rakaman audio yang didakwa membabitkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Melalui satu kenyataan, Nair berkata, sekalipun audio tersebut sahih, perbualan dalam rakaman itu bukan “kesalahan yang boleh ditangkap” dan justeru, polis tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat.
“Ada satu, dan hanya satu, peruntukan bawah Seksyen 110 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ), yang memberi kuasa kepada KPN untuk menggunakan kuasanya memulakan siasatan jenayah.
“Dan ini berlaku selepas polis menerima laporan yang mendedahkan kesalahan yang boleh ditangkap,” katanya.
Justeru tambah beliau, kenyataan Abdul Hamid itu membangkitkan persoalan siapa yang mengarahkan siasatan, kerana beliau mendakwa tiada asas perundangan untuk polis berbuat demikian.
“Dalam kes ini, bagaimana perbualan telefon biasa yang kononnya betul, disahkan atau tidak, tanpa kaitan dengan jenayah, termasuk dalam makna dan klasifikasi kesalahan yang boleh ditangkap?” tambahnya lagi.
Abdul Hamid Bador dalam satu kenyataan yang disiar media berkata siasatan dibuka ke atas rakaman audio yang didakwa melibatkan kedua-dua pemimpin politik itu.
Rakaman audio tidak disahkan itu mengandungi perbualan berkisar cara Ahmad Zahid mengendali Perhimpunan Agung Umno, dimana individu didakwa Anwar memuji Zahid.
![]() |
Nair persoal siapa arah siasat Anwar dan Zahid |
Sementara itu, Nair menggesa Abdul Hamid menjelaskan bagaimana beliau diberi kuasa untuk memanggil Anwar dan Zahid memberi keterangan, kerana memanggil mereka boleh bercanggah dengan KPJ dan Kanun Keseksaan.
0 Comments