Anwar tak mahu bersama 'pengkhianat' walaupun ditawar jawatan


DATUK
Seri Anwar Ibrahim tidak akan menyertai “golongan pengkhianat” meskipun ditawarkan jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Perkara itu ditegaskan Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam dialog anjuran Majlis Profesor Negara di Kajang semalam.

Tambahnya, pemimpin yang menyertai politik sewajarnya memegang etika dan bukan mengejar kedudukan.

“Dalam politik ini kita ada etika, golongan pengkhianat parti masing-masing bersekongkol untuk tubuh kerajaan.

“Dari segi etika, kita kena fikir, apakah kita mahu bersekongkol dengan kelompok pengkhianat yang berkuasa?” katanya.

Anwar yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelumnya ditanyakan mengapa beliau tidak bekerjasama dengan Muhyiddin Yassin memandangkan kedua-duanya tidak mempunyai isu peribadi antara satu sama lain.
 
Sebagai rekod, kerajaan HARAPAN yang dipilih mentadbir negara melalui Pilihan Raya Umum (PRU) lalu tumbang setelah bekas Timbalan Presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali bersama penyokongnya keluar parti, manakala Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin pula memutuskan parti itu keluar daripada HARAPAN.

Menerusi gerakan yang dipanggil 'Langkah Sheraton' Februari tahun lalu itu, mereka berganding bahu bersama parti-parti pembangkang ketika itu termasuk Umno dan PAS bagi membentuk kerajaan PN.
 
Sementara itu dalam dailog tersebut anwar turut menegaskan bahwa meskipun kerajaan dibentuk oleh golongan 'pengkhianat', selaku ketua pembangkang, beliau akan akan menyokong kerajaan sekiranya ia membantu rakyat, menghentikan rasuah dan salah guna kuasa.

“Tapi tak berlaku,” katanya lagi.

Dalam program tersebut, Anwar turut mengkritik sikap tidak konsisten parti lain termasuk PAS yang didakwanya hanya mengikut pihak mana yang menang.

 Pemimpin mesti pegang etika
“PAS ini dia ikut siapa yang menang. Masa (bekas perdana menteri) Najib (Razak), dia sokong Najib.

“Masa Tun (Mahathir), dia sokong Tun,” katanya.

Ketika menyentuh isu perpecahan dalam Umno pula, Anwar melihat parti itu tidak mempunyai kekuatan dari segi kemuafakatan sesama pemimpin.

“Dalam Umno ini, dalam pemerhatian saya, dalam parti itu harus ada disiplin dan muafakat dalaman. Tak boleh umpamanya bertindak mempertahankan jawatan dia,” katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments