SEORANG anggota perubatan berusia 32 tahun antara 2 pesakit koronavirus (Covid-19) yang meninggal dunia hari ini.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, wanita itu mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan ialah kontak rapat kepada pesakit kes kes ke-3662 yang berkaitan dengan kluster hospital pakar Muar, Johor.
“Beliau dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 6 April dan disahkan meninggal dunia pada 12.36 tengah malam 23 April,” katanya dalam sidang media hari ini.
Sebagai rekod, mangsa merupakan kematian ketiga di kalangan anggota kesihatan KKM. setakat ini, 325 anggota perubatan dijangkiti Covid-19, dengan 185 daripadanya sembuh dan 137 masih dirawat.
Dalam sidang medianya, Dr Noor Hisham turut memaklumkan satu kematian membabitkan lelaki berusia 67 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan buah pinggang, serta merupakan kontak rapat bagi kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Bali.
Mangsa kata Dr Noor Hisham, telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 8 April dan disahkan meninggal dunia pada 11.48 malam 22 April.
Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan 71 kes jangkitan baru, menjadikan jumlah kumulatif kes dilaporkan sebanyak 5,603.
Manakala seramai 90 pesakit sembuh menjadikan ia hari ke-7 berturut-turut kes baru mencatatkan 2 angka sejak 16 April lalu.
Sehingga kini jelasnya, 3,542 pesakit atau 63.22% sembuh sepenuhnya, manakala 1,966 pesakit masih menerima rawatan.
"Daripada jumlah itu 42 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi, dengan 21 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan" jelasnya.
Keseluruhan rakyat yang dijangkiti Covid-19 di Malaysia sehingga hari ini berjumlah 5,603 orang.
0 Comments