Kemalangan 4 lori, niat tolong jadi tragedi


HASRAT
seorang pemandu lori untuk membantu mangsa kemalangan bertukar tragedi apabila dia maut dirempuh lori lain.

Dalam nahas membabitkan empat lori di KM384.5, Lebuh Raya Utara - Selatan arah selatan berhampiran Slim River itu, P Govindasamy, 40, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata kejadian itu awalnya berlaku apabila sebuah lori jenis Hino yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun hilang kawalan.

Mangsa dikeluarkan  | Foto - JBPM Perak
"Lori terbabit terbabas dan melanggar besi pembahagi di tengah jalan sebelum berhenti dalam keadaan melintang di lorong kiri.

"Mangsa yang memandu lori jenis Mitsubishi Fuso terlihat kejadian itu telah berhenti di lorong kecemasan dan turun untuk memberi bantuan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun tambahnya, berlaku pula perlanggaran membabitkan lori ketiga iaitu jenis Isuzu dan lori keempat jenis Scania yang masing-masing dipandu oleh lelaki berusia 25 dan 45 tahun.

"Lori Isuzu melanggar bahagian kanan belakang lori terbabas terbabit menyebabkan kenderaan itu berpusing.

"Pelanggaran itu mengakibatkan mangsa yang sedang membantu telah tercampak hingga masuk ke bawah lori. Pada masa sama, lori Scania yang berada di belakang telah bergesel dan terlanggar pula lori di hadapannya," tambahnya,

Difahamkan tiga pemandu lain terselamat, mayat mangsa kemudianya dibawa ke Hospital Slim River untuk bedah siasat dan menurut pihak polis, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.    

Post a Comment

0 Comments