PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) bakal mengadakan konvensyen serta pemukiman susulan prestaso buruk gabungan itu dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini.
Melalui satu kenyataan bersama, Majlis Presiden gabungan itu berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa kelemahan dalam gabungan itu terutama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
"Majlis Presiden HARAPAN menerima keputusan rakyat dalam PRN Johor dan mengakui kelemahan termasuk dalam isu pertandingan pelbagai penjuru oleh parti pembangkang sendiri, logo, peratusan keluar pengundi yang rendah, serta aspek penerangan dan komunikasi HARAPAN berhubung isu-isu semasa yang telah menyebabkan HARAPAN (hanya) memenangi 12 kerusi," katanya dalam satu kenyataan tersebut.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Upko Madius Tangau.
Dalam kenyataan itu juga Majlis Presiden menegaskan bahawa gabungan itu akan berusaha mengatasi kelemahan-kelemahan ini dengan segera terutama dengan mengatur semula strategi bagi menghadapi PRU ke-15.
"Kelemahan-kelemahan ini tidak boleh diatasi oleh satu parti atau dengan satu ikhtiar sahaja, tetapi perlu diurus bersama dan secara menyeluruh.
"Oleh demikian, beberapa perkara akan dilaksana segera termasuk konvensyen dan pemukiman pimpinan HARAPAN untuk menggilap semula idealisme perjuangan dan penyokong-penyokongnya serta membincangkan persiapan keseluruhan bagi menghadapi PRU15," kata mereka lagi.
HARAPAN bakal adakan pemukiman |
“Negara mesti diselamatkan daripada rasuah dan salah urus, Negara kita mesti diselamatkan dari gejala rasuah dan urus tadbir yang pincang," kata mereka .