Malaysia amal polisi terbuka dalam usaha tingkat sektor pertanian

KERAJAAN mengamalkan polisi pintu terbuka dalam usaha memperkukuh sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan khusus Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengalu-alukan kerjasama strategik membabitkan pelabur dari dalam dan luar negara selain menggalakkan kerjasama awam-swasta.

Malah kementeriannya kini giat berusaha meningkatkan kerjasama di peringkat antarabangsa melalui pelbagai rundingan dua hala dan pelbagai hala.

"Pada tahun lepas, semasa Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF) ke-45, Malaysia sebagai pengerusi telah menyatakan komitmen untuk melipatgandakan usaha memacu kerjasama lebih erat antara negara anggota, bagi memelihara keterjaminan makanan di rantau ini.

"Kita juga telah mencadangkan dua keutamaan pencapaian ekonomi sebagai persediaan Malaysia sebagai tuan rumah dan Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan. Saya berharap ia mampu mencapai pembangunan dalam sektor pertanian yang lebih mampan, serta mengukuhkan keselamatan makanan di rantau ASEAN,” katanya.

Beliau sebelumnya berucap pada Persidangan Keterjaminan Makanan Asia 2024, di Putrajaya pada Rabu.

Dalam pada itu Mohamad memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memberi fokus kepada usaha memperkasakan industri pertanian dan pada masa sama meningkatkan kualiti hidup serta tahap sosioekonomi petani, penternak dan nelayan di Malaysia.
 
"Bagi tahun ini, sebanyak RM6.17 bilion telah diperuntukkan untuk pembangunan sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara, dan jumlah ini merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah setakat ini," tambahnya.

Post a Comment

0 Comments