SEORANG penyelidik kepada Ilham Centre menyarankan Muhyiddin Yassin supaya menentusahkan kerajaan dipimpinnya dengan membenarkan undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Dr Hamidin Abdul Hamid dalam satu wawancara dengan BFM dipetik berkata, tindakan itu wajar dilakukan supaya pentadbiran presiden parti Bersatu yang disertai pemimpin Umno dan PAS itu tidak dipertikaikan rakyat.
Jelasnya, dengan keasbahan kepada pentadbiran Muhyiddin tidak disahkan dalam Dewan Rakyat, ia akan terus menyaksikan suasana politik dalam negara tidak stabil.
“Masalah kepada PN adalah tidak ada legitimasi…Muhyidin perlukan ini.
"Selagi ia belum selesai, lompat melompat ini akan berterusan. Jika terbukti kerajaannya mempunyai majoriti yang sah, maka isu lompat melompat ini akan selesai,” katanya.
Sementara itu, Hamidin yang juga Pensyarah Universiti Malaya itu turut memberi cadangan agar Pakatan Harapan (HARAPAN) segera menetapkan siapa pemimpin utama mereka.
Langkah itu tegasnya bakal dapat menstabilkan semula halatuju gabungan itu.
“Pakatan Harapan perlu menetapkan dengan jelas siapa ketua mereka antara kedua-dua tokoh mereka itu. Ini kerana isu inilah yang masih berlegar pada pakatan ini dalam usaha mereka kembali ke Putrajaya.
“PH perlu selesaikan isu kepimpinan ini segera,” kata beliau dalam wawancara itu.
Sebagai rekod, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah individu yang mengetuai Pakatan Harapan (HARAPAN) ketika ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu juga merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen.
Sebaik HARAPAN dijatuhkan melalui 'langkah Sheraton', usaha dijalankan bagi memantapkan semula gerak kerja dan halatuju gabungan itu.
Minggu lalu, pemimpin HARAPAN diketuai Anwar mengadakan mesyuarat bersama Tun Dr Mahathir Mohammad dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apda di Petaling Jaya pada Selasa.
Mesyuarat lebih tiga jam itu dipercayai bagi memuktamadkan beberapa isu termasuk siapa yang akan mengetuai gabungan itu dan individu akan dinamakan sebagai calon Perdana Menteri jika gabungan baru dinamakan HARAPAN Plus itu mengambil alih semula Putrajaya.
Keputusan dan hasil mesyuarat itu dijangka hanya akan didedahkan kepada umum pada minggu depan.
0 Comments