Bersih pertikai mengapa JPBS terlibat rangka SOP PRN S'wak

 


PENGLIBATAN Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS) dalam merangka prosedur operasi standard (SOP) untuk pilihan raya negeri (PRN) ke-12 dipersoalkan.

Pengerusi Bersih Sarawak, Ann Teo melalui satu kenyataan berkata, mereka merasa tidak selesa dengan kenyataan JPBS yang mendakwa ia sedang dalam proses merangka dan menghasilkan SOP pilihan raya yang bakal diadakan 18 Disember ini.

“Mengikut Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberi mandat untuk menjalankan pilihan raya, termasuk penggubalan dan penetapan SOP yang diperlukan,” katanya menurut laporan The Borneo Post.

Dalam kenyataannya juga, Teo menegaskan bahawa mana-mana agensi sama ada di peringkat persekutuan atau negeri hanya boleh merujuk kepada SPR untuk mengemukakan SOP sesuai bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Ia bagi memastikan integriti proses dan menjadikan pilihan raya sebagai inklusif supaya semua kategori pengundi boleh mengambil bahagian.

Terdahulu Pengerusi JPBS Jaul Samion dilaporkan media sebagai berkata, agensi itu sedang giat mengkaji PRN Melaka yang baru selesai, selain proses pilihan raya lalu.

Tambahnya, semua faktor diambil kira dalam merumuskan SOP dan JPBS telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk diperhalusi sebelum dimuktamadkan dan diumumkan.

Sementara itu Teo mempersoalkan apakah kerajaan sementara negeri Sarawak mahu mengambil alih peranan SPR dalam mewujudkan SOP yang diperlukan.

“Sekiranya ya, tidakkah wujud konflik kepentingan JPBS dan kerajaan sementara yang terlibat merangka penggubalan SOP ini apabila mereka juga bertanding dalam pilihan raya sama?

“Adakah JPBS dapat memastikan pilihan raya itu bebas dan adil kepada semua parti, calon, dan pengundi melalui SOP yang dirangka?” soalnya.

Apakah PRN dapat dijalankan dengan adil?
Beliau turut menegaskan, sekarang bukan masa untuk SPR mewakilkan tugas dan tanggungjawab perlembagaan kepada agensi negeri yang tidak mempunyai kepakaran dan kedudukan undang-undang untuk menjalankan pilihan raya.

“SPR harus menjadi badan utama untuk merangka peraturan, bukan penjawat awam kerajaan sementara dan pastinya bukan kerajaan negeri itu sendiri,” tegasnya lagi seperti dipetik.

Post a Comment

0 Comments