Kenaikan mendadak harga barang adalah krisis nasional - Anwar

 


TREND kenaikan mendadak harga bekalan makanan seperti dilapor oleh media sejak beberapa minggu lalu dapat dianggap sebagai satu ‘krisis nasional’, kata Ketua Pembangkang di Parlimen.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian di Dewan Rakyat selepas bangun mencelah jawapan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),  Alexander Nanta Linggi berhubung soalan dibangkitkan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

“Ini kecemasan. Rakyat semua tunggu kita (mahu buat apa), bukan sekadar mahu dengar perancangan sahaja. Kita mahu ini diselesaikan. Sekarang mesti ada satu langkah tindakan segera.

“Speaker kena beri kelonggaran ini (untuk Ahli Parlimen berbahas), kita bukan mahu tahu apa langkah, bukan sahaja yang dibuat oleh kementerian terbabit, tetapi kerajaan hari ini,” tegasnya.

Penegasan Anwar itu kemudiannya disusuli desakan oleh Ahli Parlimen supaya kerajaan mengambil tindakan serta-merta dalam usaha mengawal kenaikan harga makanan, khususnya sayur-sayuran dan ayam pada masa ini.

BACA:
Harga barang asas terus naik, rakyat miskin makin tertekan

BACA: AMK lancar kempen #TurunkanHargaBarang

Sebelum itu, Alexander memberi amaran, tindakan akan diambil oleh agensi penguatkuasa KPDNHEP terhadap mana-mana pihak yang sengaja menaikkan harga jualannya.

Namun, jawapan Alexander itu mengundang rasa kurang senang Guan Eng, yang menyifatkan kenyataan itu sebagai langkah tidak adil kementerian khususnya kepada peniaga.

“Sekarang jangan hanya salahkan peniaga kerana mereka adalah mangsa juga. Saya rasa kalau pendekatan ini (digunakan) untuk peniaga, itu salah, 100 kali salah.

“Saya harap perlunya ada dana khusus untuk perbanyakkan pembekalan supaya kita dapat bantu petani, peladang dan peniaga, supaya mereka dapat kurangkan kos logistik, itulah puncanya (naik harga),” tegas Guan Eng.

Media sebelum ini melaporkan berlaku peningkatan harga barang keperluan asas seperti ayam, telur, bawang dan beberapa jenis sayuran.

Berita Harian dalam laporannya pada 21 November lalu memetik kenyataan Timbalan menteri KPDNHEP Rosol Wahid yang mengakui berlaku kenaikan sehingga 100 peratus harga baja dan racun sejak kebelakangan ini.

Peningkatan harga baja dan racun itu dipercayai antara punca berlaku peningkatan harga beberapa jenis sayur sayuran seperti dilapor sebelum ini.

Harga barang naik, rakyat makin derita
"Isu kenaikan harga baja dan racun dalam perhatian KPDNHEP sekarang dan pihak kami akan cuba mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan masalah itu.

"Cuma kami berharap petani bersabar sementara isu kenaikan harga dan racun itu diselesaikan segera," katanya Rosol dipetik laporan itu.

Post a Comment

0 Comments