ISU Berkaitan harga barang keperluan asas kembali menjadi perhatian setelah harga sayur dilapor meningkat hingga 200 peratus sejak dua minggu lepas.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata pemantauan CAP mendapati harga beberapa jenis sayur yang dijual di pasar naik, malah mereka diberitahu bahawa kemungkinan harga sayur-sayuran akan terus meningkat.
"Pemantauan kami mendapati harga lapan jenis sayuran semakin naik sejak dua minggu lepas iaitu kubis bunga, sawi pendek, brokoli, sawi, kacang buncis, kubis, cili merah dan cili hijau," katanya dalam kenyataan.
Dipetik laporan Bernama, Mohideen berkata harga bagi sawi pendek meningkat hingga 200 peratus iaitu daripada RM3 sekilogram kepada RM9 manakala kubis bunga pula RM7 sekilogram dan kini menjadi RM16 sekilogram.
"Selain itu, bagi sekilogram sayuran lain juga naik mendadak iaitu brokoli yang meningkat sebanyak 150 peratus daripada RM8 kepada RM20, sawi daripada RM5 kepada RM8 (60 peratus), kacang buncis daripada RM8 kepada RM15 (88 peratus), kubis daripada RM4 kepada RM6 (50 peratus), cili merah daripada RM13 kepada RM19 (46 peratus) dan cili hijau daripada RM10 kepada RM14 (40 peratus)," katanya.
Selain sayur, harga barangan asas lain yang turut dilapor naik baru-baru ini adalah telur.
Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff dipetik laporan Sinar baru-baru ini berkata, pihaknya mengesan kenaikan harga telur ayam sehingga lebih RM3 sepapan atau 30 biji telur ayam sejak seminggu yang lalu.
Selain kenaikan harga barangan, pengguna turut berdepan isu kekurangan minyak masak paket hingga memaksa golongan tidak berkemampuan membeli minyak masak dalam botol yang dijual pada harga lebih tinggi.
Golongan susah akan bertambah susah |
Tegas Mohideen, kenaikan harga sayur-sayuran akan memberi impak yang besar kepada golongan berpendapatan rendah.
"Peniaga mendakwa bahawa sayur-sayuran lain juga akan naik dalam minggu hadapan dan perkara ini amat membimbangkan, jadi kami harap Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP menyiasat kenaikan harga tersebut sama ada terdapat pihak yang sengaja menaikkan harga," katanya dipetik.