PRN Johor: Penganalisis ramal peratusan keluar undi rendah


PENGANALISIS
politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Sivamurugan Pandian berpandangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang akan berlangsung dengan peratusan keluar mengundi yang rendah.

Dipetik laporan Awani, beliau bagaimanapun berkata isu membabitkan logisitik, guna tenaga dan jentera memainkan peranan penting dalam PRN Johor.
 
"Saya jangkakan peratusan keluar mengundi rendah. Yang setia pada parti akan keluar sebagaimana yang kita lihat di Melaka.

"Ini kerana parti siasah yang ada kekuatan guna tenaga dan logistik akan menggunakannya semaksimum yang boleh untuk membawa keluar penyokong mereka.

"Jadi, saya tidak menjangkakan satu peratusan yang luar biasa akan keluar untuk mengundi kali ini kerana kita juga tahu ramai yang tinggal di Singapura dan Negeri Sembilan.

"Apakah mereka ini bersedia untuk pulang selepas beraya? Dan ada yang tidak boleh pulang sama sekali," katanya dipetik laporan itu.

Terdahulu ada dakwaan bahawa PRN itu sengaja diadakan dengan mensasarkan peratusan undi yang rendah.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor, Aminolhuda Hassan sebelum ini menganggap pembubaran DUN Johor seolah-olah ' ada udang di sebalik batu'
 
Menurutnya, Umno mungkin mahu meminimakan peratusan keluar mengundi kerana rakyat Johor tidak mungkin pulang ke kampung halaman untuk kali kedua selepas mereka bercuti sempena sambutan raya Cina minggu depan.

Bahkan katanya, sempadan Singapura yang masih belum dibuka sepenuhnya bakal menghalang rakyat untuk pulang mengundi.

Speaker DUN Johor pula mendedahkan rancangan agar PRN itu diadakan telah lama dirancang 'bilik perang Umno'  dengan menyasarkan keluar undi yang rendah di bawah 65 peratus.

Rakyat Johor tegasnya menjadi mangsa kepada permainan politik Umno.

“Apa yang berlaku hari ini di Johor adalah suatu perkara yang memang sudah dirancang oleh Umno sendiri melalui Timbalan Presidennya, Datuk Mohamad Hassan yang menyatakan bahawa Umno akan menang besar sekiranya peratusan keluar undi yang rendah.

Umno dapat manfaat dari peratusan undi rendah?
“Ini yang Umno hajat dan Johor menjadi mangsa dari kehendak Umno yang memang mahukan strategi mereka itu dapat direalisasikan.

“Ini adalah suatu yang tidak bermoral dan memangsakan rakyat di negeri dengan pelbagai agenda yang tertangguh akibat dari pembubaran DUN ini,” katanya dipetik laporan Malaysiadateline.


Post a Comment

0 Comments