Maszlee bakal MB: belum bincang, tapi Anwar tak tolak kemungkinan


ISU siapa akan dilantik Menteri Besar Johor sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) menguasai negeri itu melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan masih belum dibincangkan.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi gabungan itu, apa yang menjadi lebih penting pada masa ini adalah untuk membincangkan soal memastikan kemenangan HARAPAN pada pilihan raya itu.

“Soal calon (untuk bertanding) pun belum putus…calon-calon setakat ini orang Johor dan yang ada keluarga di Johor,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Jentera Angkatan Muda KEADILAN (AMK) PRN Johor.

Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai khabar angin mengenai kemungkinan gabungan itu akan meletakkan Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik, yang juga bekas Menteri Pendidikan sebagai calon Menteri Besar Johor.

Tidak menolak sebarang kemungkinan, Anwar menegaskan bahawa KEADILAN mempunyai dasar di mana ahli parlimen tidak bertanding di kerusi DUN, namun kelonggaran diberikan dengan mengambil kira faktor kebolehmenangan dan kekuatan calon.

Maszlee yang juga bekas menteri pendidikan, sebelum ini berkata dia bersedia bertanding di Johor, namun menepis spekulasi berkenaan pencalonannya.

BACA: Maszlee 'pakai' Aston Martin lepas tak lagi jadi menteri

KEADILAN dijangka mengumumkan calonnya pada awal minggu depan, Anwar berkata, pengumuman calon akan dibuat secara berperingkat dan perbincangan telah dilakukan dengan Pengerusi KEADILAN Johor Syed Ibrahim Syed Noh.

“Kalau setuju, dua tiga (calon) kita umum dulu. Mungkin awal minggu depan.

“Tapi tak semua, sebahagian,” kata Anwar lagi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kerjasama dengan parti MUDA, Anwar berkata rundingan kerjasama itu kini dibuat di peringkat kepimpinan negeri dan setakat ini MUDA belum memberitahu jumlah kerusi yang dimahukan.

Semalam, Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata perbincangan dan rundingan antara MUDA dengan HARAPAN berhubung kerjasama dalam PRN Johor, disifatkan berjalan lancar.

Sementara itu pada majlis berasingan, Anwar berkata rakyat seharusnya menolak wakil rakyat yang melompat parti dan menyifatkan golongan itu sebagai pengkhianat parti.

Calon KEADILAN bakal diumum minggu depan
“Masa berkempen orang bekerja (jentera) setengah mati dan tiada bayaran, tetapi apabila menang, dia senang, dia khianat… jangan maafkan orang begini.

“Khianat kepada parti ini boleh sampai menyebabkan jatuh kerajaan. Sebab itu kita harus teliti betul-betul orang yang kita rasa yakin, setia dengan perjuangan parti dan berprinsip, ini maruah dan integriti serta nilai etika (yang) kita tidak boleh ketepikan,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments