BEKAS Menteri Pelajaran yang merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam berhasrat mahu menjadikan kawasan diwakilinya sebagai 'simpanan tetap' KEADILAN dan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Maszlee Malik yang dispekulasikan bakal bertanding di kerusi DUN Layang-Layang berkata, beliau mensasarkan menawan dua kerusi DUN di bawah parlimen itu sebagai milik HARAPAN.
"Kita akan menjadikan Simpang Renggam daerah KEADILAN, kita jadikan parlimen Simpang Renggam simpanan tetap KEADILAN.
"Kita akan jadikan DUN Layang-Layang milik KEADILAN, kita akan jadikan DUN Machap DUN Pakatan Harapan," katanya pada satu majlis yang dihadiri Pengerusi HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Difahamkan kerusi DUN Machap yang berada dibawah Parlimen itu dikhabarkan akan ditandingi oleh parti MUDA yang dipengerusikan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman.
Pada PRN Johor MUDA mengadakan kerjasama politik dengan HARAPAN bagi usaha mengembalikan semula mandat rakyat yang diperolehi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Sebagai rekod, Maszlee yang merupakan bekas Ahli Akademik dan Syed Saddiq bertanding dibawah tiket parti Bersatu pada PRU lalu. Kedua-dua mereka meninggalkan parti itu susulan 'langkah Sheraton' yang menyaksikan pembelotan beberapa Ahli Parlimen yang membawa kepada keruntuhan kerajaan pilihan rakyat.
Pada 2018, merampas kerusi Simpang Renggam dengan memenangi 50.6 peratus undi dalam pertembungan tiga penjuru.
Sebelumnya, Simpang Renggam merupakan kerusi milik parti Gerakan.
Bagaimanapun, pada pilihan raya itu, Barisan Nasional (BN) mengekalkan DUN Layang-Layang dan Machap dengan majoriti tipis dan hanya meraih 47 peratus undi di setiap kerusi.
Menurut data 2018, Simpang Renggam ialah kawasan pilihan raya bercampur dengan pecahan kaum ialah 60 peratus Melayu, 31 peratus Cina dan 9 peratus India.
Sejak menjadi Wakil Rakyat di Simpang Renggam, Maszlee berjaya menyelesaikan masalah yang telah melanda kawasan itu selama bertahun-tahun antaranya isu gangguan air yang kerap dihadapi penduduk terutamanya pada musim perayaan dan masalah tapak pelupusan sampah CEP Estate Sanitary.
Dari sudut pemodenan Simpang Renggam, Maszlee walaupun pernah diperlekeh berjaya membawa rangkaian makanan segera McDonald's di kawasan itu, selain menjana perkerjaan, ia berfungsi sebagai tempat pertemuan penting untuk anak muda, usahawan dan keluarga.
Maszlee bawa perubahan ke Simpang Renggam |
"Tapi kita tetap tepati janji kita. Kita janji bawa Open Universiti (Universiti Terbuka) hari ini merupakan universiti pertama cawangan di Malaysia ada di Simpang Renggam," katanya pada Majlis semalam.