Presiden Umno saran Abdul Hadi jadi ahli zoologi


PERSETERUAN antara Umno dan PAS semakin memuncak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menyindir Abdul Hadi Awang dengan mengesyorkan Presiden PAS itu menukar kerjaya daripada ahli politik kepada ahli zoologi.

Sindiran itu dibuat susulan gelaran “itik patah kaki” yang mahu berenang sendiri setelah sembuh sebagai mengulas tindakan Umno memutuskan kerjasama dengan Bersatu serta jalan sukar Muafakat Nasional (MN) yang dirintis selepas pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Saya mengikuti banyak wawancara dan banyak ucapan pemimpin itu. Banyak kiasan yang berkaitan dengan haiwan (digunakan).

“Saya fikir eloklah dia tukar profesion daripada ahli politik kepada ahli zoologi,” kata Zahid dengan sinis seperti dilaporkan Malaysiakini.

Ucapan Zahid itu turut disiarkan secara langsung melalui platform media sosial.

Pada 28 Jan lalu, Hadi menyatakan rasa tidak senangnya terhadap Umno. Hadi mendakwa PAS membantu Umno 'bangun' semula setelah kalah pada PRU lalu.
 
Hadi yang dilantik sebagau Duta Khas Perdana Menteri selepas pentadbiran negara 'dirampas' melalui "Langkah Sheraton' juga mempersoalkan tindakan Umno-BN menggerakkan langkah secara sendirian bagi mengadakan PRN Johor.

Seorang pemimpin Umno selepas itu tampil dengan kenyataan sinis yang dianggap merujuk kepada kenyataan Abdul Hadi.

BACA: PAS-Umno sindir menyindir, lepas itik berudu pula

Walaupun tidak menyebut mana-mana pihak, Ahmad Shabery Chik  menyindir pihak tertentu yang disifatkannya 'bermain banyak kolam' dalam politik. Sindiran itu dipercayai merujuk kepada PAS dan kepimpinannya yang kini bekerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Kata Ahmad Shabery, mereka yang suka bermain banyak kolam umpama "berudu" yang bergantung kepada air sebagai punca kuasa.
 
"Hidup berudu terlalu bergantung kepada air kerana banyak makanan di situ.

"Air itu seperti kuasa. Kolam kering berudu mati.

"Berudu dalam masa beberapa minggu tumbuh kaki dan menjadi katak. Katak akan terus melompat dan mencari air untuk melahirkan lebih banyak berudu," tulisnya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Hubungan PAS- Umno makin tegang
Dalam pada itu, Zahid berkata, beliau juga “bimbang” apabila tuduhan dibuat PAS ke atas Umno sebaliknya memakan tuan.

“Saya tahu itu ilmu mantik, tapi saya khuatir jika satu jari dituduh kepada orang (lain) empat jari akan kena pada pada dia,” katanya sambil menggesa Ahli Umno memastikan orang yang menghina mereka akan malu sendiri,” katanya.

Post a Comment

0 Comments