Jangan anggap skandal LCS dah selesai, tegas Nik Nazmi


SEORANG
Ahli Parlimen KEADILAN mengingatkan bahawa siasatan terhadap isu kontrak perolehan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) tidak boleh dianggap selesai.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata begitu susulan penahanan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap dua orang Ketua Pegawai Eksekutif syarikat yang terlibat dalam projek itu.

Selain belum ada sebarang dakwaan dilaksanakan dalam kes itu setakat ini, kerajaan juga katanya masih belum menggariskan secara terbuka dan komprehensif langkah yang akan diambil untuk memastikan LCS akhirnya disiapkan dan masalah sedemikian tidak kembali berulang.

“Pengajaran mesti diambil supaya negara ini tidak berdepan dengan belanjawan yang lebih besar untuk projek-projek yang bermasalah.

"Adakah kerajaan sedia ada mempunyai iltizam politik untuk memastikan perkara ini?” soalnya menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Sebelum ini, SPRM menerima aduan berhubung projek pembinaan enam buah kapal LCS susulan kegagalan pihak yang berkenaan untuk menyerahkan kapal itu mengikut tempoh ditetapkan.

Mengikut kontrak asal yang ditandatangani pada 2014, LCS pertama sepatutnya diterima TLDM pada April 2019 dan bayaran sebanyak RM6 bilion juga telah dibuat.

Difahamkan, penahanan  dua individu itu dibuat selepas SPRM berjaya menemui petunjuk baharu dalam siasatan ke atas kontrak perolehan enam buah kapal LCS yang dilaksanakan oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS),

Mengulas lanjut, Nik Nazmi yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Pertahanan Dan Hal Ehwal Dalam Negeri berkata, di sebalik penahanan itu juga, rakyat Malaysia seharusnya diberitahu mengenai gambaran menyeluruh kontroversi tersebut.

Apakah k'jaan ada iltizam politik selesai masalah?
Katanya, hal tersebut boleh dilakukan sekiranya Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dibenarkan untuk meneruskan serta menyelesaikan tugasnya dalam meneliti isu terbabit.

“Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak gagal dalam menguruskan isu LCS kerana Jawatankuasa ini bekerja dengan baik dan bergerak dengan pantas sehinggalah berlaku pertukaran kerajaan, ia menghalang proses itu,” ujarnya lagi.

Post a Comment

0 Comments